PRU-15: Muhyiddin jumpa Tun M ajak bergabung

Muhyiddin jumpa Tun M ajak bergabung

MUKHRIZ Mahathir (tengah) dalam sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Pejuang Terengganu di Kuala Terengganu hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan, Pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad  didatangi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mukhriz berkata, pertemuan itu berlangsung kira-kira dua minggu lalu, setelah Bersatu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini Pejuang belum memberikan kata putus mengenai tawaran penggabungan itu.

“Mungkin saya boleh katakan, buat masa ini kita kurang bersetuju dengan apa yang dicadangkan untuk bergabung dengan kerajaan memerintah.

“Ketika ini memang banyak perjumpaan di sebalik tabir berlaku dengan semua pihak bukan hanya dalam kalangan pembangkang malah pemimpin kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Pejuang Terengganu di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, Pejuang terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk Bersatu dan Pas dalam PRU-15 jika kalangan mereka ikhlas dan bersih.

Namun, bekas Perdana Menteri itu menafikan Pejuang, Bersatu, Gerakan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menubuhkan Gerakan Pejuang Nasional (GPN).

Sementara itu, Mukhriz menyifatkan hubungan antara Muhyiddin dan Mahathir masih lagi dingin di sebalik tawaran bekerjasama yang dicadangkan Bersatu.

“Luka kami belum pulih, dok (masih) berdarah lagi.

“Tetapi kami faham demi negara dan rakyat, tiada benda yang kami tidak sanggup buat kalau niatnya betul,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya