MPKK bangunkan kemudahan pelancongan di Jambatan Victoria  - Utusan Malaysia

MPKK bangunkan kemudahan pelancongan di Jambatan Victoria 

ZULQARNAIN Mohamad (kanan) bersama ahli Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya pada program pemasangan papan tanda maklumat Jambatan Victoria di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) akan menjadikan pekan Karai yang terdapat Jambatan Victoria di sini sebagai destinasi pilihan pelancongan di bandar diraja Kuala Kangsar.

Yang Dipertua MPKK,  Zulqarnain Mohamad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat swasta untuk membangunkan kawasan di sekitar pekan Karai dan Jambatan Victoria.

“Memang ada sebuah syarikat pajak tanah dari Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk tujuan pembangunan seperti medan selera dengan mengumpul peniaga di tepi jalan di bawah satu premis.

“Projek ini dijangka siap hujung tahun ini dan apabila siap, ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita selepas pemasangan papan tanda maklumat mengenai sejarah Jambatan Victoria di sini hari ini. 

Menurut Zulqarnain, Jambatan Victoria sesuai untuk dijadikan lokasi pilihan pengunjung ke bandar Kuala Kangsar sama ada untuk melihat sejarah jambatan itu selain bergambar sempena konvokesyen, gambar perkahwinan dan sebagainya. 

“Ramai yang mengunjungi tempat ini tetapi belum ada jumlah yang tepat pengunjung ke sini. 

“Mungkin selepas ini, para pengunjung akan dikenakan bayaran untuk melawat Jambatan Victoria,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata, papan tanda maklumat bersejarah yang  dipasang hari ini bersempena ulang tahun ke-122 pembinaan Jambatan Victoria. 

Menurutnya, pemasangan papan tanda itu diharap membantu pengunjung mendalami sejarah negara.

“Papan tanda maklumat sejarah di sini adalah yang ketujuh dipasang di tempat-tempat bersejarah di negeri ini.

“Kami dalam perancangan untuk memasang papan tanda maklumat sejarah di Batu Tenggek di Teluk Intan  kerana lokasi tersebut mempunyai sejarah pertempuran,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya