MHO rayu jangan tangguh proses dokumentasi warga asing - Utusan Malaysia

MHO rayu jangan tangguh proses dokumentasi warga asing

HISHAMMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu agar kerajaan tidak menangguhkan usaha mendokumentasikan warga asing di Sabah dan kumpulan stateless di seluruh negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, usaha itu tidak melibatkan pemberian kad pengenalan, mahupun dokumen kepada warga asing termasuk memberikan mereka taraf kewarganegaraan.

Katanya, MHO menyambut baik usaha kerajaan mendokumentasi warga asing di Sabah kerana ia dapat menyelesaikan banyak masalah yang berkaitan di samping dapat menegakkan hak-hak kemanusiaan masyarakat di Sabah.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga menyatakan bahawa dengan pemberian kad tersebut juga akan membolehkan kesemua pihak dan agensi mengenal pasti taraf seseorang itu di Sabah.

“MHO berpendapat kita perlu memandang isu ini lebih jauh lagi demi masa yang panjang di mana kerajaan Malaysia telahpun kekurangan penempatan bagi warga asing dan kumpulan stateless di kem tahanan mahupun penjara di seluruh Malaysia.

“Selain itu, banyak hasil kerajaan dibelanjakan setiap tahun dalam pengurusan hal-hal berkaitan. Jadi, MHO berpendapat bahawa pemberian kad itu merupakan keperluan mendesak ketika ini untuk mendokumentasikan warga asing di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu katanya, di atas faktor keselamatan serta di atas dasar kemanusiaan, MHO merayu kepada kerajaan dan negeri Sabah agar tidak bertangguh untuk mendokumentasikan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Sejajar dengan usaha MHO yang berterusan dalam memberikan bantuan kemanusiaan termasuk khidmat guaman kepada kumpulan stateless di seluruh Malaysia, MHO juga ingin menggesa agar Kementerian Dalam Negeri turut menyediakan alternatif dalam membantu mendokumentasikan kumpulan stateless bukan sahaja di negeri Sabah tetapi seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu kata Hishamuddin, pihaknya juga bersedia memberikan kerjasama dan membantu pihak kerajaan mengumpul maklumat bagi proses pendataan warga asing dan menawarkan khidmat nasihat undang-undang sejajar di bawah Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN