TANAH MERAH: Kerajaan menyasarkan pengeluaran susu getah atau lateks sebanyak 200,000 tan setahun menerusi Program Koridor Lateks Pantai Timur yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran itu berdasarkan kemampuan terkini negara yang mengeluarkan 10 peratus daripada permintaan lateks atau 32,000 tan setahun.
Menurutnya, pasaran dunia ketika ini memerlukan sebanyak 400,000 tan lateks setahun dan kerajaan berharap dapat sekurang-kurangnya mengeluarkan 50 peratus daripada permintaan itu, lima tahun lagi.
“Bagi mencapai sasaran ini, Program Koridor Lateks Pantai Timur menyediakan banyak insentif kepada pekebun-pekebun kecil getah untuk terus mengusahakan kebun getah dan menghasilkan lateks pada masa akan datang.
“Program ini membabitkan tiga negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Insentif Pengeluaran Latex di MHJ Enterprise di Kampung Renab, Bukit Bunga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zuraida memberitahu, melalui Program Koridor Lateks Pantai Timur, peserta akan menerima peruntukan sebanyak RM850 bagi tujuan pembajaan bagi setiap hektar tanah getah yang diusahakan.
“Selain itu, mereka juga akan mendapat sebanyak RM1 bagi setiap satu kilogram getah kering yang dihasilkan,” katanya. –UTUSAN ONLINE