Malaysia-China promosi perubatan tradisional

Malaysia-China promosi perubatan tradisional

KHAIRY Jamaluddin menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman pada Majlis MoU antara Kerajaan Malaysia dan China dalam bidang perubatan tradisional di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan berkongsi kejayaan China dalam membangunkan bidang perubatan tradisional yang dijangka membawa perubahan besar dalam industri itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jalinan usahasama Malaysia dan China dalam bidang itu adalah komitmen berterusan bagi menggalak, mempermudah dan mempromosi bidang berkenaan pada masa akan datang. 

Katanya, kerjasama itu penting bagi perkongsian dari segi amalan, bahan mentah dan produk, pendidikan serta latihan serta penyelidikan membabitkan perubatan tradisional. 

“Perubatan tradisional di Malaysia adalah unik di mana ia mempunyai sejarah tersendiri hasil daripada pelbagai warisan, budaya, bahasa, dan bangsa di negara ini. 

“Bagaimanapun, penyelidikan dalam perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia masih dalam peringkat permulaan.

“Justeru, pengetahuan dan kepakaran luas dimiliki China sudah tentu dapat memberi manfaat kepada Malaysia khususnya penyelidikan dari aspek pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Perubatan Tradisional Antara Malaysia dan China secara dalam talian, hari ini. 

China diwakili Pesuruhjaya Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional China Kebangsaan (NATCM), Dr. Yu Wen Ming. 

Khairy berkata, kerjasama itu juga akan dapat membantu Malaysia bagi menetapkan dasar bersesuaian untuk mengurangkan beban penyakit di negara ini. 

Menurutnya, kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang perubatan tradisional sudah terjalin sejak 10 tahun lalu  ketika Tan Sri Liow Tiong Lai menjadi Menteri Kesihatan. 

“Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, pelbagai kerjasama dilaksanakan termasuk latihan kepada anggota kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di institusi atau hospital di China. 

“Kami berharap rangkaian komunikasi yang berkesan dapat terus dimantapkan bagi tujuan pertukaran maklumat teknikal, saintifik dan kawal selia antara kedua-dua negara. 

“Ia seterusnya akan memudahkan proses pembuatan dasar dan strategi yang bersesuaian dalam memastikan penggunaan perkhidmatan dan produk perubatan tradisional yang selamat dan berkesan untuk kesejahteraan orang ramai,” katanya. 

Katanya, MoU ini juga selaras aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Malaysia yang mengiktiraf sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya