SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan bayaran zakat fitrah bagi Negeri Sembilan tahun ini pada tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM10 dan RM21 seorang berbanding satu kadar bayaran iaitu RM7 tahun lalu.
Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, pihaknya memberi pilihan kepada mana-mana individu yang ingin membuat bayaran lebih tinggi berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan.
“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan mewartakan kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu kadar asas RM7 seorang adalah jumlah terendah. Umat Islam yang ingin membayar lebih daripada kadar tersebut adalah digalakkan membayar mengikut kadar zakat sebanyak RM10 seorang dan RM21 seorang.
“Kadar zakat fitrah ini diperkenalkan dengan tiga pilihan mengikut kumpulan majoriti yang makan beras jenis yang dimakan agar dapat membantu fakir miskin di negeri ini.
“Jika sebelum ini, pihak MAINS membayar RM350 satu keluarga, namun, tahun ini peruntukan bantuan sebanyak RM500 hingga RM700 bagi setiap keluarga,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Penetapan Kadar Zakat fitrah di Menara MAINS di sini hari ini.
Jelas Abdul Aziz Sheikh lagi, penetapan pilihan pada tiga kadar harga itu berdasarkan kepada kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan iaitu pada satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.
“Selain itu, kadar harga pilihan merupakan satu galakan kepada umat Islam untuk menambahkan amalan khususnya ibadat zakat pada bulan Ramadan. Kami berharap dengan adanya pilihan pembayaran ini dapat meningkatkan bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, bagi umat Islam yang mahu membuat pembayaran zakat fitrah secara bersemuka, mereka boleh hadir ke kaunter zakat di pejabat MAINS daerah dan cawangan yang berhampiran.
Kata beliau, kaunter zakat berkenaan dibuka tujuh hari seminggu sepanjang bulan Ramadan bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
“Kaunter pembayaran zakat fitrah di pasar raya atau lokasi terpilih juga dibuka pada setiap hujung minggu. Selain itu, seramai 1,400 amil zakat fitrah yang telah diberi tauliah oleh MAINS di masjid dan surau terpilih di negeri ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE