LZS catat peningkatan kutipan, agihan zakat - Utusan Malaysia

LZS catat peningkatan kutipan, agihan zakat

SYED Anwar Jamalullail ketika membentangkan prestasi LZS pada persidangan secara maya itu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan prestasi positif menerusi peningkatan ketara jumlah kutipan dan agihan zakat di negeri ini tahun lalu apabila sebanyak RM922 juta diagih sementara kutipan pula sebanyak RM993 juta.

Agihan tersebut menunjukkan jumlah penerima turut meningkat kepada 69,011 keluarga dan pengeluar zakat bertambah kepada 364,778 orang.

Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, jumlah agihan zakat mencatatkan peningkatan enam peratus atau RM55 juta berbanding keseluruhan RM867 juta pada 2020.

Katanya, peningkatan penerima zakat susulan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan ramai individu.

“Inisiatif khusus dilaksanakan LZS bagi membantu meringankan beban golongan rentan selain pelbagai program agihan zakat yang komprehensif kepada komuniti asnaf.

“Ia memfokuskan program sosial, pendidikan dan institusi agama dengan agihan berjumlah RM773 juta berbanding RM720 juta pada 2020,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini, hari ini.

Jelas Syed Anwar, kutipan zakat turut meningkat sembilan peratus berbanding RM913 juta pada tahun sebelumnya.

“Jumlah umat Islam yang menunaikan zakat bertambah kepada 364,778 individu daripada 346,415 orang dalam tempoh berkenaan.

“Kutipan zakat tertinggi menerusi zakat pendapatan diikuti zakat perniagaan dan zakat simpanan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya menyasarkan kutipan zakat lebih RM1 bilion tahun ini dengan jangkaan jumlah asnaf meningkat lebih 100,000 keluarga menjelang 2030.

Dalam pada itu, Syed Anwar berkata, LZS akan terus menambah baik mutu perkhidmatan kepada asnaf dan pengeluar zakat menerusi sistem operasi dan inisiatif digitalisasi.

“Tahun lalu, sejumlah RM63 juta zakat turut disalurkan kepada program bantuan Covid-19 yang memberi manfaat kepada 63,701 individu dan 493 institusi.

“Menerusi inisiatif LZS termasuk Zakat Selangor Peduli, sebanyak RM25 juta diagihkan kepada mangsa banjir yang terjejas di Selangor termasuk makanan kering dan keperluan asas,” ujarnya.

LZS merupakan institusi zakat yang ditubuhkan lebih 25 tahun lalu dengan kini dibantu lebih 600 warga kerja di 20 cawangan di seluruh negeri ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya