Lebih 42,000 rakyat dapat kerja pada Januari 2022 - PM - Utusan Malaysia

Lebih 42,000 rakyat dapat kerja pada Januari 2022 – PM

ISMAIL Sabri ketika mempengerusikan mesyuarat di Parlimen hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 42,166 orang telah mendapat kerja dan sejumlah 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada bulan Januari 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan jumlah itu adalah antara kejayaan yang telah dicapai kerajaan dalam mencipta peluang pekerjaan di negara ini.

“la mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial. Malah, kejayaan ini juga membuktikan bahawa inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan selepas hadir mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (NEC) hari ini.

Katanya, ini selari dengan kejayaan yang telah dicapai pada tahun 2021 apabila kerajaan dengan kerjasama bersepadu pelbagai kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta telah berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan.

“Pencapaian in adalah 112 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang telah ditetapkan dan kerajaan yakin bahawa kejayaan in boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun 2022,” katanya.

Di samping itu, kata Ismail Sabri, NEC juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) merupakan langkah yang boleh diambil dalam menangani isu ini dan sokongan daripada pihak majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca-pandemik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, NEC turut bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran dan 80,000 di bawah MySTEP.

“Sebagaimana aturan sebelum ini, pencapaian sasaran ini akan disokong oleh lima pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, Kementerian Sumber Manusia telah diarahkan supaya merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia.

“Langkah ini penting kerana kadar pengangguran dalam golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus.

“Kerajaan turut mengulangi pendirian mengenai usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar Tingkatan Satu, untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka,” katanya.

Bagi tujuan ini, katanya, kempen promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua.

“Sebaliknya, TVET akan diperkasakan agar ia menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.

Katanya, ia merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa yang sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan tarikh temu duga.

“Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.

“Kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya