PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 27,500 kes positif berbanding kelmarin, 25,854 kes tetapi diatasi 27,557 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan, 360 kes berbanding kelmarin, 374 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut merekodkan penurunan kepada 194 kes berbanding kelmarin, 213 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan sembilan kluster berbanding kelmarin, tujuh kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,798 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini kekal 475 kluster seperti jumlah kelmarin, 475 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,323 kluster berbanding kelmarin, 6,314 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 189 kes bersamaan 0.69 peratus daripada 27,500 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 27,311 kes bersamaan 99.31 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 152 kes kategori tiga, empat dan lima, 25 kes atau 13.23 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 89 kes atau 47.09 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.
“Selain itu, 38 kes atau 20.11 peratus telah menerima dos penggalak; 108 kes atau 57.14 peratus berumur 60 tahun dan ke atas dan 48 kes atau 25.40 peratus mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 115 kes berbanding semalam, 78 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,942 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 36 daripada 115 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,780 kes. –UTUSAN ONLINE