PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 32,467 kes positif berbanding kelmarin, 27,500 kes sekali gus mengatasi 27,629 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan, 355 kes berbanding kelmarin, 360 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut merekodkan peningkatan kepada 208 kes berbanding kelmarin, 194 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan 11 kluster berbanding kelmarin, sembilan kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,809 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini menurun kepada 466 kluster berbanding kelmarin, 475 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,343 kluster berbanding kelmarin, 6,323 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 231 kes bersamaan 0.71 peratus daripada 32,467 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 32,236 kes bersamaan 99.29 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 152 kes kategori tiga, empat dan lima, 60 kes atau 25.98 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 115 kes atau 49.78 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 56 kes atau 24.24 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 127 kes atau 54.98 peratus berumur 60 tahun dan ke atas; 74 kes atau 32.03 peratus mempunyai komorbid dan satu kes atau 0.43 peratus kes adalah kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 86 kes berbanding semalam, 115 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,208 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 28 daripada 86 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,808 kes. –UTUSAN ONLINE