Kerajaan tak benarkan ketum dieksport ke Thailand

Kerajaan tak benarkan ketum dieksport ke Thailand

PENYELUDUPAN ketum ke negara jiran aktif kerana mendapat permintaan yang tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand kerana langkah itu menyalahi Akta Racun 1952.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, akta itu melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

“Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor). Setakat ini ia tidak akan dibenarkan. (Tidak akan dibenarkan) untuk apa-apa tujuan mengikut akta sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen ‘Kita Demi Negara’ di sini semalam.

Kelmarin, Muhammad Sanusi mencadangkan agar kerajaan memberi kebenaran kepada Kedah mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Jelasnya, langkah itu secara tidak langsung dapat membanteras kegiatan penyeludupan yang kini berleluasa di sempadan Malaysia dan Thailand.

Selain itu katanya, kerajaan juga boleh memperoleh pendapatan cukai selain mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras kegiatan penyeludupan.

Tambahnya, beliau difahamkan harga ketum di pasaran tempatan hanya sebanyak RM30 sekilogram manakala di pasaran Thailand pula mampu mencecah RM150 sekilogram jika dihantar terus ke kilang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 1 Kota Setar, Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid berkata, cadangan Kedah mahu mengeksport ketum ke Thailand bakal menjadikan negeri itu dikenali sebagai ‘Jelapang Ketum’ berbanding ‘Jelapang Padi’ pada masa akan datang.

Beliau bimbang sekiranya lebih ramai petani memilih untuk menggantikan tapak sawah mereka dengan penanaman ketum berbanding padi yang menjadi makanan ruji di negara ini.

Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil dengan kegiatan menanam padi di petak sawah turut pernah dilaporkan media sebelum ini.

“Penanaman ketum mungkin dilihat lebih menguntungkan daripada penanaman padi. Oleh itu, tidak mustahil kebanyakan petani akan menukar tanaman mereka dari padi ke ketum sekiranya cadangan itu dibenarkan.

“Jika itu berlaku, bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara kita. Pihak berkuasa juga tentunya akan berdepan kesukaran bagi membuat pemantauan kerana penyalahgunaan ketum dalam kalangan rakyat, tidak mustahil akan lebih berleluasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya