Keluarga tunaikan janji beri ganjaran RM10,000 - Utusan Malaysia

Keluarga tunaikan janji beri ganjaran RM10,000

LAU KOK GIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keluarga pendaki, Lau Sam, 84, yang ditemukan mati selepas 10 hari dilaporkan hilang dekat kawasan hutan di Puncak Jelapang di sini, akan menunaikan janji ganjaran RM10,000 kepada dua malim gunung yang berjaya menemukan warga emas itu.

Anak mangsa, Lau Kok Gian, 48, berkata, dia telah bertemu dua malim gunung itu di lokasi bapanya dijumpai dan mereka bersama-sama menunggu pasukan penyelamat tiba untuk membawa turun mayat mangsa.

“Saya tahu yang bapa telah dijumpai apabila dihubungi rakan kira-kira pukul 3 petang, semalam. Ketika itu, saya juga berada di dalam hutan kerana menyertai operasi mencarinya.

“Saya segera ke lokasi mereka berada dan melihat bapa terbaring di dalam sungai. Saya berasa sedih tetapi tidak boleh buat apa-apa sehingga pasukan penyelamat sampai,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dia turut mengiringi pasukan penyelamat membawa mayat bapanya turun ke kaki bukit sehingga pukul 3 pagi.

Katanya, mereka terpaksa mendaki semula bukit untuk naik ke puncak bagi mengikuti laluan yang lebih selamat berbanding menelusuri sungai yang disifatkan sebagai berbahaya.

“Berkaitan ganjaran yang dijanjikan, saya telah dapatkan nombor telefon mereka. Setelah urusan pengebumian selesai, saya akan hubungi mereka semula,” katanya yang merupakan anak bongsu Lau Sam dan Chin Ah Yoong, 81.

Sementara itu, abang Kok Gian, Lau Kok Thung, 52, berkata, mereka sekeluarga telah bersedia menerima sebarang berita buruk berkaitan lelaki itu selepas operasi mencari dan menyelamat menemui jalan buntu.

Katanya, walaupun berasa sedih, ibu mereka melahirkan perasaan lega apabila jasad suaminya itu berjaya dijumpai.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada pasukan penyelamat, individu dan media yang banyak membantu sepanjang operasi mencari bapa.

“Kami betul-betul terharu kerana mereka tidak putus-putus membantu walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan laluan yang digunakan juga sukar,” katanya.

Menerusi laporan media pada 12 Mac lalu, Lau Sam disedari hilang oleh ahli kumpulannya sekitar pukul 6.30 petang pada Jumaat setelah didapati tidak tiba di kaki bukit.

Mangsa yang menyertai pendakian bersama tujuh rakannya itu merupakan seorang yang mahir dalam aktiviti tersebut dan telah biasa datang ke lokasi berkenaan.

Susulan kehilangan Lau Sam, keluarga mangsa menawarkan ganjaran wang RM10,000 kepada mana-mana individu yang berjaya menemukan warga emas tersebut. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya