KULIM: Keluarga mangsa yang dipercayai terkandas secara haram di Myanmar selepas ditipu ejen pencari pekerjaan di negara tersebut sejak Januari lalu kini buntu dan bimbang terhadap keselamatan mangsa di negara itu.
Lim Sew King, 46, ibu saudara kepada Ang Poon Guan, 27, seluruh ahli keluarga sedih dan tertekan selepas mengenai insan tersayang terkandas secara haram di Myanmar.
Malah katanya, mangsa itu juga merupakan anak tunggal kepada kakaknya, Lim Sew Siam.
“Kakak saya tinggal bersama dengan anaknya di Junjung di sini dan selepas Poon Guan keluar dari rumah untuk bekerja di luar negara, saya membawa dia tinggal bersama saya.
“Sebelum ini Poon Guan yang menjaga ibunya dengan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Junjung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sew King berkata, anak saudaranya itu mungkin ingin mencari pekerjaan yang bergaji tinggi dan termakan dengan janji manis tawaran daripada ejen pencari pekerjaan terbabit.
Jelasnya, dia akan menghalang Poon Guan ke Myanmar sekiranya mengetahui awal berhasratnya bekerja di luar negara.
Utusan Online semalam melaporkan beberapa rakyat Malaysia dipercayai terkandas secara haram di Myanmar selepas ditipu ejen pencari pekerjaan di negara tersebut sejak Januari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kulim,Yeo Keng Chuan berkata, perkara tersebut didedahkan salah seorang keluarga mangsa tersebut, Sew Siam yang memohon bantuan kerajaan membawa pulang anak lelakinya yang terkandas di negara tersebut. – UTUSAN ONLINE