JKKP Perak jalankan siasatan menyeluruh dua pekerja tertimbus runtuhan batu - Utusan Malaysia

JKKP Perak jalankan siasatan menyeluruh dua pekerja tertimbus runtuhan batu

TAKLIMAT Op Runtuhan Batu Kuari (OMYA) oleh Timbalan Komander Operasi, Aidil Adli (kanan) kepada Supian Alias di Keramat Pulai, Jalan Cameron Highlands- Simpang Pulai, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan menjalankan siasatan menyeluruh kes dua pekerja kuari dipercayai tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam.

Pengarah JKKP Perak, Supian Alias berkata, pihaknya telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berkaitan kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, siasatan akan dilakukan setelah operasi mencari dan menyelamat selesai dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran perundangan dan elemen lain yang menjadi punca kepada kemalangan itu.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak jabatan memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Katanya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab dalam mengenal pasti bahaya, membuat penilaian dan kawalan risiko yang berkesan.

“Kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi semalam, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya