MERSING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seharusnya tidak menjadi platform untuk menanam kebencian dan perpecahan lebih-lebih lagi masyarakat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Menteri Kanan Pertahanan merangkap Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, semua pihak sepatutnya perlu fokus ke arah keperluan asas rakyat yang akan terus menjadi keutamaan apabila selesai proses pilihan raya kelak.
“Apa saya tekankan tadi jangan kita menang sorak tetapi kampung tergadai. Dalam kita lihat ke hadapan perjalanan PRN Johor, jangan sampai tanam kebencian perpecahan khususnya dalam kalangan mereka pelbagai kaum dan agama.
“Mari kita fokus seperti apa yang Kementerian Sumber Manusia buat hari ini iaitu selepas berakhirnya pilihan raya, kita masih kena fikirkan soal ekonomi dan mencari pekerjaan untuk rakyat.
“Siapa yang akan buat itu adakah orang yang tanam kebencian kepada kita masa pilihan raya atau mereka yang terpaksa pikul sama ada menang atau kalah di Johor. Saya tetap Menteri Pertahanan, Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan masih pegang amanah untuk melihat kepada sumber manusia negara,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jaminan Kerja Keluarga Malaysia 2022 Mersing, di sini, hari ini.
Katanya, sehingga kini tiada perkara negatif dalam kempen dilaksanakan BN dan penerimaan orang ramai di Johor sangat baik terhadap calon gabungan itu.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, anggota tentera di negeri ini telah bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mengundi awal bagi PRN Johor pada 8 Mac ini.
“Setakat hari ini tak ada terima laporan negatif terhadap persiapan mereka yang mengundi awal. Saya harap ia berjalan lancar dan yakin daripada interaksi saya bersama pemimpin ATM di Johor, mereka sudah bersedia untuk berdepan tanggungjawab mengundi awal,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, sekiranya BN berjaya di Johor pada PRN kali ini, ekonomi akan pulih berbanding ketika ditadbir kerajaan sebelum ini yang tiada kestabilan politik sehingga menyebabkan pelaburan asing kurang.
“Sekiranya kita boleh buktikan kestabilan politik di Johor, ini akan memberi keyakinan kepada pelabur secara automatik dan peluang pekerjaan juga bertambah. Tak guna kita hanya persoal perkara itu tetapi tiada sokongan rakyat untuk stabilkan.
“Di Johor, rakyat sedar perlunya kestabilan politik. BN sudah 63 tahun memerintah walaupun kita ada isu tak setuju, tetapi semua selesaikan dalam bilik bukan luar bilik, macam mana ada kekurangan pun kita sentiasa bersama sikap toleransi yang tinggi, sikap penerimaan tinggi tetapi sebelah sana tak sampai tiga tahun sudah tidak percaya,” katanya. – UTUSAN