Insiden Smith tampar Rock jadi bahan pantun DBP - Utusan Malaysia

Insiden Smith tampar Rock jadi bahan pantun DBP

TANGKAP layar pantun disiarkan DBP yang seperti dikaitkan dengan insiden Smith menampar Rock baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Nampaknya insiden tidak dijangka aktor terkenal Hollywood, Will Smith menampar pelawak, Chris Rock bukan sahaja mendapat perhatian para peminat dunia hiburan.

Malah, peristiwa berlaku spontan ketika siaran langsung penganugerahan berprestij Oscar pada Isnin lalu turut menjadi bahan melalui laman sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana kejadian semasa, warganet yang menelusuri akaun sosial agensi tersebut sudah dapat mengagak pantun lama itu ditujukan kepada siapa.

“Kalau tak terjerang dengan pulut, Terpaksa dikerang dengan empingan, Kalau tak terlarang dengan mulut, terpaksa dilarang dengan tangan,” kata pentadbir DBP menerusi siaran itu.

Infografik ringkas berkenaan turut memaparkan imej jari tangan yang memegang daun bagi menggambarkan baris pembayang pantun tersebut seperti aksi menampar oleh seseorang.

Pentadbir laman tersebut menyatakan bahawa petikan yang khusus bertemakan petalangan itu bersumberkan dari buku Khazanah Pantun Melayu Riau terbitan DBP pada 2007 lalu.

Ia memberi pengertian tersirat sekiranya kita tidak dapat menghalang dengan kata-kata, maka terpaksalah digunakan kekerasan sebagai pengajaran agar tidak diulangi perbuatan salah.

Pantun empat baris itu menerima reaksi positif pengguna media sosial tempatan apabila tular dengan meraih hampir 3,000 tanda suka selain dikongsi lebih 800 kali dan sekitar 200 komen.

Antaranya warganet dikenali Wadariah Mohd. Rashid yang menulis ulasan dengan merujuk bidalan popular tetapi diubah suai: “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut pipi yang merasa.”

Turut menarik perhatian ialah netizen bernama Ghaz Rahman dengan nukilan komen sinis yang berbunyi: “Cakna sungguh pihak DBP, isu semasa antarabangsa juga tidak ketinggalan.”

Begitu juga seorang pengguna Facebook dengan nama Edar Dzahir yang memuji usaha DBP itu sambil berkata: “Terbaiklah… Selepas ini bolehlah berkias tegur anak guna pantun ini.”

Insiden yang menggemparkan dunia itu berlaku apabila Rock mempersendakan imej isteri Smith, Jada Pinkett yang botak akibat perlu menjalani proses rawatan untuk penyakit barah.

Ramai penonton dilaporkan tergamam, namun, selepas memenangi trofi Pelakon Terbaik menerusi filem King Richard, Smith tampil memohon maaf kepada pihak penganjur Oscar.UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya