MELAKA: Seramai 45 kanak-kanak dan remaja menerima hadiah basikal yang dijanjikan, selepas berjaya menyempurnakan cabaran menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari anjuran Masjid Nur As-Sa’adah, Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Program Subuh Istiqamah 40 Hari itu bermula 9 Februari lalu dan berakhir semalam membabitkan penglibatan anak-anak kariah berusia antara sembilan hingga 16 tahun.
Peserta termuda, Muhammad Tarmizi Faezal, 9, ketika ditemui pemberita berkata, dia amat teruja kerana tidak menyangka hadiah yang diidamkan selama 40 hari itu menjadi miliknya.
“Kalau duduk dekat rumah tak seronok, pergi masjid lagi bagus sebab dapat jumpa kawan-kawan dan hari ini saya tidak sangka akhirnya dapat basikal.
“Ustaz juga bagi saya dan kawan-kawan makan di masjid selepas menunaikan solat secara berjemaah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Aiman Shahrul Azuwan, 10, pula berkata, dia amat berterima kasih kepada pengurusan masjid kerana telah memberi peluang kepada anak-anak kariah untuk mengamalkan solat berjemaah, di samping memperoleh ganjaran.
“Terima kasih Masjid Nur As-Sa’adah, saya tidak sangka kesungguhan saya untuk bangun pagi solat di masjid dihargai dengan menghadiahkan sebuah basikal.
“Saya seronok dan akan terus mengikuti program-program yang dianjurkan pihak masjid selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid, Datuk Amzah Osman berkata, menerusi penganjuran program tersebut, pihaknya dapat melihat perubahan ketara membabitkan jumlah kehadiran anak-anak kariah.
“Saya juga dapat maklum balas daripada ibu bapa, memberitahu kini setiap hari anak-anak yang akan mengejutkan mereka daripada tidur mengajak ke masjid, begitu juga solat fardu lain.
“Semalam kita telah adakan bengkel dan saya lihat jumlah yang hadir juga lebih ramai termasuklah anak-anak ini, jadi saya harap selepas ini pun mereka akan terus bersemangat ke masjid,” katanya.
Tambahnya, pengurusan masjid akan terus menganjurkan program-program yang dapat menarik minat lebih ramai kariah, sekaligus mendorong para jemaah untuk menghayati agama Islam dari semasa ke semasa. – UTUSAN