JOHOR BAHRU: Ikhtiar yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) seimbang dan merangkumi semua peringkat masyarakat. Selain tidak bersifat populis semata-mata untuk memenangi hati pengundi.
Penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Md. Akbal Abdullah berkata, tawaran-tawaran tersebut tidak dilihat sebagai satu janji seperti yang diungkapkan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, sebaliknya cuba memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
“Saya tertarik untuk menyentuh soal Orang Muda Johor (OMJ) yang menjadi antara golongan terkesan dengan keadaan semasa. Ia bukan sahaja berlaku di Johor tetapi seluruh negara, dengan ikhtiar-ikhtiar yang dibuat BN terhadap mereka nampak nasib OMJ akan terbela.
“Kesan nyata bila orang muda kurang dapat peluang kerja, peluang untuk tambah nilai kepada sumber manusia pun terjejas. Banyak pengangguran keluaran institut pengajian tinggi (IPT) di samping kehidupan mereka seakan tidak terbela di kawasan luar bandar sejak beberapa tahun ini.
“Jadi, apabila BN Johor tawar ikhtiar yang khusus kepada mereka, bagi saya ia satu hadiah kepada golongan muda di Johor yang menjadi segmen masyarakat terpenting. Kerana bukan sahaja limpahan nikmatnya dirasai anak muda Johor tetapi dari seluruh negara yang mencari rezeki di bumi Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mengumumkan lima ikhtiar utama BN Johor yang ditawarkan kepada rakyat negeri itu iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, OMJ, pentadbiran berintegriti dan reformasi politik.
Bangsa Johor
Kata beliau, Ikhtiar BN Johor adalah ikhtiar untuk semua Bangsa Johor yang perlu bersama-sama memakmurkan Johor dengan ekonomi yang maju, perniagaan yang bercambah, infrastruktur yang moden dan kualiti hidup yang terbaik.
Sementara itu, Md. Akbal yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum berkata, BN memiliki rekod yang baik dalam memastikan tawaran-tawaran seperti itu dicapai sepanjang menjadi kerajaan sebelum ini sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.
“Tidak ada janji atau ikhtiar yang kita lihat sukar untuk dilaksanakan BN Johor kerana mereka berpijak di bumi yang nyata dan realistik terhadap apa yang mahu dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Malah, ikhtiar untuk terus mereformasikan politik dilihat sebagai usaha untuk memperkasakan sistem demokrasi dan menjamin sokongan bertali arus daripada seluruh bangsa Johor itu sendiri,” katanya.
Katanya, langkah meneruskan pemberian peruntukan berjumlah RM200,000 setahun kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kerajaan atau pembangkang adalah tindakan berperikemanusiaan bagi memastikan masyarakat terus terbela. – UTUSAN