Ibu bapa lebih terbuka anak divaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Ibu bapa lebih terbuka anak divaksin Covid-19

DR. Mohd. Zaqrul Razmal Mohd. Podzi memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak pada Program PICKids di Pusat Perubatan Mawar di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu bapa kini dilihat lebih terbuka untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin selepas kerajaan memberi pilihan jenis vaksin sama ada Pfizer atau Sinovac bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Untuk Kanak-kanak (PICKids).

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Mawar, Dr. Mohd. Zaqrul Razmal Mohd. Podzi berkata, sebelum ini, timbul kerisauan apabila ibu bapa tidak mendapat maklumat yang tepat tentang keselamatan atau kesan sampingan selepas anak divaksin.

“Tidak dinafikan ibu bapa meluahkan kerisauan untuk anak divaksin kerana mereka tidak mendapat jawapan atau data keselamatan jangka panjang bagi setiap jenis vaksin yang diambil kerana tidak memahami maklumat disampaikan di laman web Kementerian Kesihatan sebaliknya terpengaruh dengan info daripada TikTok, Instagram dan Facebook.

“Langkah kerajaan membenarkan pemberian vaksin Sinovac untuk PICKids merupakan tindakan proaktif dan memberi pilihan kepada ibu bapa tanpa sebarang diskriminasi,” katanya ketika ditemui pemberita pada PICKids di Pusat Perubatan Mawar di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Zaqrul, masa untuk ibu bapa mengambil pendekatan tunggu dan lihat sudah tamat sebaliknya mereka perlu berikhtiar untuk mengambil vaksin sebagai langkah perlindungan daripada Covid-19. 

“Bagi pendapat saya, ibu bapa bukan tidak mahu anak dicucuk (vaksin Covid-19), tetapi mereka takut, jadi, kena ada orang yang boleh menjawab kerisauan dan kegusaran mereka. 

“Data menunjukkan kebanyakan pesakit kanak-kanak bertahan dengan Covid-19 tanpa ada masalah, tidak dinafikan ada sebilangan kecil mengalami sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC), namun, sebahagian besar selamat tanpa sebarang komplikasi,” katanya. 

Jelas beliau, secara keseluruhan, ibu bapa mahu melindungi anak mereka, tetapi pihak yang berwajib perlu memberi jawapan yang meyakinkan tentang risiko vaksinasi.

Bermula 7 Mac lalu, KKM mula menawarkan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vakin (PPV) terpilih bagi PICKids. 

Ibu bapa diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin Sinovac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju memberikan pelalian jenis Pfizer. 

Rabu lalu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, masa untuk ‘tunggu dan lihat’ sudah tamat sebaliknya ibu bapa perlu membuat pilihan vaksinasi kepada anak untuk perlindungan melalui PICKids. 

Setakat ini, hanya 30 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya