Honda Malaysia berjaya keluarkan sejuta kenderaan

Honda Malaysia berjaya keluarkan sejuta kenderaan

SULAIMAN Md. Ali dan Madoka Chujo (kiri) bersama kereta Honda Civic keluaran ke sejuta di Alor Gajah, Melaka, hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) melakar satu lagi kejayaan baharu apabila berjaya mengeluarkan sejuta kenderaan di kilang pengeluarannya di Pegoh dekat sini pada Februari lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pencapaian membanggakan itu hadir ketika dunia berdepan dengan krisis kewangan berikutan penularan Covid-19.

Katanya, kejayaan itu adalah bukti kerja keras, pengurusan strategik, sistem dan tadbir urus yang kukuh telah membantu organisasi mencapai satu lagi kejayaan besar. 

“Di sebalik cabaran semasa dan pelbagai halangan disebabkan Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi, saya kagum dengan keupayaan HMSB untuk kekal kukuh dan berdaya tahan dalam menjalankan operasi.

“Saya percaya ini bukan tugas perseorangan. Para pekerja adalah kunci yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat organisasi. 

“Saya memuji usaha HMSB untuk terus melabur dalam pertumbuhan dan kebajikan pekerja bagi menyediakan persekitaran kerja yang kondusif untuk mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Satu Juta Pengeluaran Honda Malaysia di sini hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSB, Madoka Chujo.

Sementara itu, mengenai kejayaan HMSB, Madoka berkata, penawaran produk yang dilengkapi dengan teknologi terkini turut menyumbang kepada pencapaian tersebut.

Menurutnya, hala tuju HMSB juga selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan mutu alam sekitar dan keselamatan bagi kehidupan yang lebih mampan.

“Dengan komitmen kukuh ini, Honda akan terus mengembangkan teknologi Honda Sensing dan e:HEV. Teknologi ini merentasi barisan kereta kami dan melangkaui jangkaan pelanggan di Malaysia,” katanya.

HMSB merupakan pelabur utama dalam sektor automotif di Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya