Hasni pemimpin menjiwai kata-kata

Hasni pemimpin menjiwai kata-kata

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan kekal tenang yang ditunjukkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad menunjukkan beliau seorang menjiwai kata-kata bahawa tiada ideologi politik dan parti politik yang lebih penting dari negeri itu.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ini kerana Hasni kekal konsisten dengan gayanya yang tenang menerima ketetapan di luar jangkaan beliau dan kepimpinan UMNO.

Bagaimanapun, katanya, mendukung kedaulatan Raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sudah menjadi sebahagian ‘DNA’ UMNO apatah lagi di Johor Darul Ta’zim.

“Respon Hasni yang cukup santun dan terhormat sekali lagi menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat yang meletakkan kepentingan negeri dan parti mengatasi peribadi.

“Seperti dalam ucapan beliau sejurus selepas kemenangan BN diumumkan, ‘tiada ideologi politik, tiada parti politik yang lebih penting dari Johor Darul Ta’zim’.

“Dalam tindakan beliau mutakhir ini, ternyata Hasni seorang yang menjiwai semangat kata-kata ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini

Menurut Shahril, meskipun tidak lagi menjadi Menteri Besar Johor, tiada yang mampu menafikan Hasni wajar diiktiraf sebagai arkitek kebangkitan Johor dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Johor. 

Katanya, tentunya bukan calang-calang orang mampu memimpin BN dan UMNO negeri yang terdiri daripada ramai tokoh hebat serta dalam suasana politik mencabar.

“Kami yang berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) menyaksikan secara dekat ketokohan dan keupayaan beliau sebagai seorang pemimpin di mata parti mahupun rakyat.

“Beliau terbukti berjaya mengemudi  dan meletakkan Johor pada landasan yang baik walaupun mengharungi pelbagai rintang dalam usaha memacu proses pemulihan pasca Covid-19, sekali gus kembali membangunkan Johor di bawah pentadbiran BN.

“Jika satu pintu tertutup, pada saat sama pintu lain dibuka. Semoga ketokohan dan kepemimpinan Hasni dapat terus dimanfaatkan pada pentas politik negeri dan negara selepas ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahril turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor Ke-19. 

Katanya, sebagai pemimpin muda, tentunya harapan tinggi diletakkan atas bahu beliau untuk meneruskan kegemilangan negeri Johor.

“Mengenali beliau sebelum ini, saya yakin Onn Hafiz akan dapat menggalas amanah ini dan membuktikan bahawa beliau juga mampu menghadapi cabaran yang mendatang dengan gaya tersendiri ke arah matlamat sama, iaitu mengotakan Ikhtiar BN Johor demi kestabilan masa depan.

“Terima kasih Bangsa Johor memilih BN. Terima kasih menerima kami datang dari seluruh negeri dan negara untuk berkempen. 

“Kini terserah kepada Bangsa Johor dan kepimpinannya yang baharu untuk terus melakar kisah tersohor negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya