KLANG: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya terhadap orang awam pada 24 Mac lalu.
Tertuduh, K. Moganasuntharan, 63, dan anaknya, M. Kartik, 20, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Berdasarkan pertuduhan-pertuduhan, Moganasuntharan didakwa sebagai penunggang motosikal jenis Modenas manakala anaknya, Kartik yang merupakan pemandu van jenis Toyota Hiace telah memandu secara berbahaya terhadap orang awam di Jalan Tepi Sungai, di sini pada pukul 2 petang, 24 Mac lalu.
Mereka masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
Lesen memandu mereka juga boleh direkod kesalahan dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur’Ayuni Jamri mencadangkan jaminan masing-masing RM8,000.
Peguambela, A. Biranta bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah kerana Moganasuntharan merupakan penyara bagi isteri dan anaknya serta memerlukan kos perubatan bagi rawatan sakit jantung yang dialaminya.
Selain itu, kedua-dua tertuduh pula akan dijamin oleh adik Kartik yang tidak mampu menyediakan jumlah jaminan tinggi.
Mahkamah menetapkan masing-masing RM3,000 untuk jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 1 Jun ini.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Moganasuntharan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang perjalanan sebuah ambulans jenis Maxus yang dipandu Muhammad Nur Aqhari Rosli di Jalan Tepi Sungai di sini, pada pukul 2 petang, 24 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhd. Hanis Zulkapli.
Mahkamah menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 1 Jun ini.
Pada 26 Mac lalu dua lelaki dilapor bertindak ala samseng jalanan, tular dalam media sosial apabila menghalang laluan sebuah ambulans menghantar pesakit dialisis membawa padah apabila dicekup pukul 4 petang di sekitar Klang. – UTUSAN