PONTIAN: Calon ‘payung terjun’ Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng menggariskan 10 hasrat yang akan dilakukan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Eng Meng, 61, berkata, 10 perkara tersebut termasuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Pekan Nanas memandangkan ramai yang memerlukan kemudahan asas tersebut ketika ini.
Katanya, sekiranya pembinaan rumah mampu milik dapat dilaksanakan tentunya akan memberikan kelegaan kepada golongan muda mempunyai rumah sendiri tanpa menyewa mahupun duduk di rumah keluarga.
“Usaha tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya BN diberikan peluang untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan kesejahteraan penduduk terbela.
“Saya bersedia untuk membantu pengundi di Pekan Nanas mendapatkan rumah mampu milik bagi memastikan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri mencapai impian mereka,” katanya ketika ditemui semalam.
MENCABAR PENYANDANG
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, Eng Meng sekali lagi akan mencabar penyandang DUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selain dua lagi calon turut bertanding iaitu Datuk Tan Chen Hock (Perikatan Nasional) dan Hishamuddin Busri (Parti Warisan Sabah).
“Walaupun saya pernah tewas kepada Tung Siong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya tidak akan pernah menyerah kalah untuk bertanding sekali lagi pada PRN Johor ini,” ujarnya.
Tambah Eng Meng, selain rumah mampu milik, beliau juga bercadang untuk membina sebuah Pusat Hemodialisis bagi membantu penduduk yang menghidap penyakit buah pinggang menerima rawatan.
Selain itu, beliau juga akan menambah peralatan pendidikan, melaksanakan ‘kelas pintar’, meningkatkan penggunaan teknologi merangkumi kelajuan dan capaian internet dan menggalakkan pendidikan khas kepada ibu bapa.
“Saya juga akan tubuhkan Pusat Keusahawanan Coklat bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada kaum ibu dan golongan muda selain mewujudkan Jalan Kebudayaan di Pekan Nanas.
“Malah, kita juga akan menyediakan lebih banyak kursus Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk disertai golongan muda agar dapat mencari kerjaya yang lebih baik pada masa depan,” tambahnya. – UTUSAN