Empat hala tuju pembangunan landskap negara - Utusan Malaysia

Empat hala tuju pembangunan landskap negara

Ismail Sabri Yaacob melihat landskap yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat sempena Sambutan Hari Landskap Negara di Taman Eko Flora, Johor Bahru, semalam. -MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan menggariskan empat hala tuju untuk diberi penekanan dalam pembangunan landskap negara pada masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hala tuju itu penting agar pembangunan landskap dalam 25 tahun akan datang menjadi lebih maju.

Katanya, hala tuju itu bagi menawarkan kualiti landskap yang unggul untuk dinikmati generasi akan datang dengan segala usaha tersebut perlu bermula hari ini.

“Pertama, memperkemas sistem jaringan landskap negara kerana adalah wajar perluasan penyediaan infrastruktur hijau negara diberikan keutamaan menerusi pendekatan program pembangunan landskap yang menyeluruh.

“Kedua, mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap sebagai satu nilai ekonomi atau sebagai satu sumber pulangan dan ekonomi baharu negara seiring dengan perubahan global,” katanya ketika merasmikan Hari Landskap Negara 2022 di Taman Ekoflora, semalam.

Menurut Perdana Menteri, hal tuju ketiga merangkumi hala tuju untuk melindungi aset landskap Keluarga Malaysia dengan satu kaedah kawalan secara perundangan diwujudkan bagi memastikan aset landskap dapat dilindungi.

Katanya, pendidikan berterusan secara lebih berkesan perlu kerana kehilangan aset landskap itu akan membawa kerugian kepada negara dan sukar untuk dikembalikan.

“Keempat, mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara kerana organisasi landskap yang lengkap di peringkat agensi, negeri dan tempatan penting untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, menjadi hasrat kerajaan agar setiap negeri mempunyai taman awam berkonsepkan Taman Persekutuan dan dapat meningkatkan akses rakyat kepada kawasan landskap.

Katanya, ini sekali gus dapat meningkatkan kawasan hijau di kawasan perbandaran yang menjadi faktor utama penyumbang karbon rendah karbon dan persekitaran bandar selesa yang memberi impak kepada peningkatan kualiti dan kehidupan Keluarga Malaysia.

“Kejayaan pencapaian Malaysia Negara Taman Terindah adalah hasil penglibatan semua pemain industri landskap.

“Prinsip keseimbangan di antara pembangunan fizikal dan landskap, perlu dijadikan prinsip asas secara berterusan kepada peningkatan kualiti penghasilan, kemampanan persekitaran kehidupan,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri mencadangkan supaya ia turut didasari dengan peningkatan nilai sosial dan ekonomi, peningkatan nilai aset negara sama ada dinilai berdasarkan nilai ketara atau nilai bukan ketara.

“Bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya, program Landskap Negara perlu diteruskan, dan kepentingan landskap dalam pembangunan negara perlu diperkukuhkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya