SHAH ALAM: Bulan Ramadan seperti tidak dihormati oleh penerbit dan pengarah stesen televisyen, TV3 apabila menerbitkan rancangan yang memaparkan aksi pelakon utama dalam keadaan mengghairahkan dan keterlaluan.
Tindakan menerbitkan rancangan sedemikian pada bulan mulia seolah-olah tidak memahami sensitiviti majoriti masyarakat beragama Islam di negara ini.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, beliau mempersoalkan tindakan penyiaran drama sebegini rupa wajar ditayangkan pada bulan yang mulia ini.
“Selain itu, adegan yang ditayangkan juga dikhuatiri memberi pengaruh buruk kepada penonton kategori bawah umur 18 tahun.
“Sekiranya tidak ditangani segera, maka, tidak mustahil selepas ini lebih banyak drama dengan adegan tidak senonoh yang keterlaluan melibatkan pelakon beragama Islam bakal diterbitkan demi meraih jumlah tontonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas sebuah klip video pendek sedutan drama bersiri arahan Erma Fatima berjudul ‘Perempuan Itu’ yang memaparkan pelakon utama mempamerkan aksi ghairah dan lucah yang keterlaluan.
Drama yang dibintangi oleh Zul Ariffin dan Mimi Lana dikatakan bakal menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini.
Sehubungan, itu Halimey turut menggesa pihak berwajib seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengambil tindakan menyekat tayangan drama ini sehingga lulus tapisan demi menjaga kesucian bulan Ramadan nanti. –UTUSAN ONLINE