Dakwaan buruh paksa: Malaysia tidak wajar dipersalahkan - Utusan Malaysia

Dakwaan buruh paksa: Malaysia tidak wajar dipersalahkan

M. SARAVANAN ketika berucap merasmikan Hari Terbuka dan Siri Forum Nasional HRD Corp. bertajuk Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Malaysia tidak wajar dipersalahkan dalam isu dakwaan buruh paksa apabila kesalahan yang dikesan berlaku di peringkat ejen dari negara asal atau negara sumber.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, antara kesalahan itu adalah apabila ejen dari negara asal tersebut meminta bayaran sehingga beribu-ribu ringgit daripada rakyat mereka yang mahu bekerja di negara ini.

Faktor lain ujar beliau, adalah beban hutang dalam kalangan pekerja asing tersebut yang ditanggung di negara mereka sehingga terdesak untuk bekerja di negara ini dengan membuat sejumlah bayaran kepada ejen terbabit.

Menurut beliau, Malaysia tidak mempunyai pengetahuan berhubung apa yang berlaku di negara sumber tersebut, namun, menjadi mangsa penilaian oleh negara-negara antarabangsa dalam konteks buruh paksa.

“Kebanyakan isu ini (dakwaan berlaku buruh paksa) bukan sebab kita melakukan kesalahan, kadang-kadang, ada industri yang tidak sedar mereka melakukan kesalahan.

“Sebagai contoh ada pekerja asing membayar beribu-ribu ringgit untuk masuk ke negara ini dan perkara ini berlaku di negara sumber yang kita tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, namun pada akhirnya kita yang menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka dan Siri Forum Nasional HRD Corp. bertajuk Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa di sini hari ini.

Forum itu turut melibatkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli panel selain turut dihadiri wakil-wakil kedutaan dan pertubuhan antarabangsa.

Sementara itu, Saravanan berkata, forum berkaitan buruh paksa yang dianjurkan hari ini juga bertujuan melahirkan kesedaran dalam kalangan penggiat industri di negara ini berhubung kepentingan memberi tumpuan terhadap isu berkenaan.

Dalam masa sama, kata beliau, forum itu juga bagi menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa berkenaan kesungguhan dan komitmen Malaysia dalam menangani isu terbabit dengan segera.

Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata, Malaysia akan memuktamadkan berkenaan pembekalan pekerja asing dari Indonesia untuk semua sektor menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani antara kedua-dua negara di Bali, Indonesia yang dijangka 17 Mac ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan menambah kuota kemasukan pekerja asing untuk bekerja di restoran India Muslim berikutan kebenaran operasi 24 jam bermula 1 April ini, Saravanan berkata, kuota sedia ada sudah memadai bagi tujuan tersebut.

Sementelah ujar beliau, kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat dan restoran India Muslim itu boleh mengambil pekerja tempatan bagi menampung keperluan tersebut sekiranya masih kekurangan pekerja. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya