Covid-19: Kedah catat BID tertinggi  - Utusan Malaysia

Covid-19: Kedah catat BID tertinggi 

DR. MOHD. HAYATI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kematian di luar hospital akibat Covid-19 atau disebut sebagai BID di negeri ini membimbangkan dengan 11 kes iaitu yang tertinggi dicatatkan seluruh negara, semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, kebanyakan pesakit berkenaan melibatkan golongan warga emas dan rentan iaitu mempunyai penyakit kronik.

“Statistik di Kedah menunjukkan sebanyak 90 peratus pesakit tidak tahu mereka dijangkiti Covid-19. Keadaan menjadi buruk apabila pesakit ini adalah warga emas dan golongan yang berpenyakit kronik seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi.  

“Alami gejala sikit sahaja, tetapi, tidak membuat ujian saringan atau pergi ke klinik untuk tindakan lanjut. Duduk di rumah sahaja dan tiba-tiba meninggal dunia, ada meninggal dunia di rumah dan ada ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya di sini hari ini.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan hari ini menunjukkan terdapat 92 kes kematian baharu semalam dengan 33 kes BID termasuk Kedah (11), Perak (5), Selangor (4), Pahang dan Johor (3), Negeri Sembilan dan Sabah (2), Terengganu, Sarawak dan Kelantan (1).

Mengulas lanjut, kata Dr. Hayati, penolakan penduduk Kedah terhadap dos penggalak terutama dalam kalangan warga emas juga membimbangkan.

“Peratusan rakyat Kedah yang mengambil dos penggalak hanya 40 peratus dan ini membimbangkan kita. Kebanyakan takut untuk mengambil dos ini kerana pelbagai khabar angin dalam media sosial.

“Sedangkan kita tahu dos penggalak ini mampu mencegah kesan yang teruk termasuk kematian terutama bagi golongan warga emas dan berpenyakit,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri bekerjasama dengan jabatan lain termasuk Jabatan Agama negeri supaya menggiatkan penerangan tentang kepentingan dos penggalak.

“Kesedaran seperti ini perlu diperluaskan apatah lagi kita mengesan banyak penduduk sudah leka tentang prosedur operasi standard (SOP) walaupun masih berlaku penularan. Masjid dan surau perlu memberi lebih banyak penerangan melalui kuliah, tazkirah dan khutbah tentang perkara ini,” katanya.

Selain itu, katanya, golongan kanak-kanak juga semakin terdedah dengan jangkitan Covid-19 ini dan merayu agar ibu bapa mengambil tanggungjawab membawa mereka mendapatkan vaksin dengan kadar segera. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya