PASIR GUDANG: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang berada dalam tempoh kuarantin dibenarkan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua iaitu pada bulan April.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, calon-calon berkenaan tidak perlu bimbang sebaliknya hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah dengan membuat surat deklarasi secara bertulis dan menyertakan dokumen berkaitan.
“Pemakluman itu boleh dilakukan oleh calon sendiri atau ahli keluarga mereka, pengetua akan sahkan sama ada benar pelajar itu positif dengan menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi dan surat bertulis.
“Jadi, calon dan keluarga mereka tidak perlu risau, kalau mereka ada bukti tersebut, mereka boleh menduduki sidang SPM kedua iaitu pada April nanti,” katanya selepas mengadakan lawatan sempena hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, hari ini.
Bagi peperiksaan SPM 2021 ini, seramai 407,097 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara dengan seramai 50,317 daripada mereka merupakan calon di negeri ini.
Tambah Radzi, bagi calon yang baru diketahui positif ketika sedang menduduki peperiksaan pula, mereka akan diletakkan di sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah terbabit.
Sementara itu, beliau berkata, SPM 2021 berlangsung dalam skala lebih besar apabila ia dilaksana dengan menggunakan hampir semua kelas di sekolah.
“Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM ini berlangsung dengan teratur dan selamat.
“Manakala calon-calon di kawasan banjir seperti di Kelantan yang mana sekolah dan pusat peperiksaan ditutup dan tiada lokasi alternatif bersesuaian, mereka akan laksanakan kertas hari ini pada bulan April nanti,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE