Buka sempadan sumbang pemulihan ekonomi Johor - MB - Utusan Malaysia

Buka sempadan sumbang pemulihan ekonomi Johor – MB

Polis Johor bersedia mengawasi lokasi tumpuan pelancong sempena pembukaan sempadan Johor-Singapura pada 1 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Kerajaan negeri percaya pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan menyumbang kepada usaha pemulihan negeri Johor yang memberi impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Menyambut baik perkara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya akan berusaha memastikan segala persiapan di sempadan Johor-Singapura berada pada tahap yang baik dan mengambil kira isu kesesakan lalu lintas. 

Malah, beliau berharap dapat berjumpa dengan pucuk pimpinan Singapura dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Johor dan Singapura untuk masa akan datang. 

“Jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong yang telah mengumumkan berita baik itu buat bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. 

“Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran bangsa Johor dan rakyat Malaysia selama lebih 20 bulan, akhirnya sempadan Johor-Singapura akan kembali dibuka pada 1 April ini.

“Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik Covid-19, kerajaan kedua-dua negara bersetuju sudah tiba masanya untuk membuka sepenuhnya sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Onn Hafiz berjumpa dan berbincang dengan Ismail Sabri tentang pembukaan semula sempadan Johor-Singapura. 

Sebelum ini, Ismail Sabri memberitahu, Malaysia akan membuka semula sempadan antarabangsa bermula 1 April.

Onn Hafiz dalam pada itu turut berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang banyak membantu dalam usaha pembukaan semula sempadan Johor-Singapura.

“Semoga pembukaan sempadan ini akan menjadi lembaran baru bukan sahaja buat Malaysia dan Singapura, malah buat negeri Johor dengan Singapura secara khusus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya