SEREMBAN: Masih banyak tanah-tanah pertanian yang disediakan kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini bagi tujuan aktiviti pertanian masih lagi terbiar dan tidak diusahakan sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, dalam hal tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memainkan peranan mereka berbanding menyalahkan kerajaan-kerajaan negeri dengan mendakwa gagal menyediakan kawasan pertanian.
Aminuddin berkata, MAFI perlu melihat semula, apakah bantuan yang telah mereka berikan ketika petani dan peladang berdepan dengan kenaikan harga input pertanian dan masalah yang dihadapi oleh petani termasuk dalam isu penggunaan jentera.
“Tanah-tanah pertanian yang ada, adakah ia produktif? apa yang mereka lakukan bagi memastikan pengeluaran makanan ini benar-benar berjalan?. Tanah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Jelebu, beribu ekar, adakah kesemuanya digunakan?
“Siswazah-siswazah tani, berapa ramai yang terlibat dan berapa pula yang berjaya? ini yang sepatutnya pihak kementerian lihat dan bukannya mencari salah, tanah tiada, itu tiada. Mahu tanah-tanah besar tetapi tanah yang kecil pun mereka tidak mampu bangunkan, tanah sedia ada pun tidak diusahakan sepenuhnya,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan Bilangan 2, Tahun 2022 di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kerenah kerajaan negeri yang didakwa gagal menyediakan kawasan baharu pertanian menyebabkan negara terpaksa mengimport makanan bernilai RM63.6 bilion tahun lalu.
MAFI menerusi kenyataan memaklumkan, keghairahan menukar status tanah untuk projek pembangunan hartanah yang dilihat lebih menguntungkan turut menyebabkan penawaran hasil dalam negara tidak dapat menampung permintaan tinggi penduduk dan industri berasaskan makanan.
Menurut kenyataan itu lagi, kebergantungan import makanan yang tinggi itu turut dikaitkan isu pembangunan tanah pertanian yang tertakluk di bawah pihak berkuasa kerajaan negeri.
Sementara itu, Aminuddin menambah, kerajaan negeri sentiasa boleh memberikan kerjasama termasuk dengan menyediakan tanah untuk pertanian kerana menyedari kepentingannya, namun, mempersoalkan tugas MAFI termasuk untuk membangunkan petani-petani.
“Bagi petani yang mengusahakan tanaman dua tiga ekar ini, bagaimana mahu dikembangkan. Bagi pengusaha ternakan ikan pula berapa banyak yang telah diternak, kenapa ada kolam ditutup, dan apabila ditutup ia perlu dibantu, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, itu yang sepatutnya.
“Sama juga berkenaan tanah terbiar, kenapa ia terbiar, itulah peranan MAFI sendiri. Jika isunya pengusaha sudah berusia, kena cari jalan supaya orang baharu masuk.
“Petani mahu bajak tanah tiga ekar tanpa penggunaan mesin dan jentera memang mengambil masa yang lama, jadi mereka mengharapkan pihak jabatan untuk membantu. Untuk tanam jagung, kerajaan perlu beli jentera, tolong bajakkan tanah-tanah tersebut, sediakan benih sesuai dan berkualiti tinggi, itu yang sepatutnya bukan menyalahkan kerajaan negeri apabila mereka gagal,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE