SHAH ALAM: Hujan lebat berterusan mengakibatkan ban berdekatan pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, pecah malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu dipercayai menyebabkan berlaku limpahan air dari Sungai Klang ke kawasan perumahan berdekatan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.15 malam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah dalam operasi berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati ban pintu kunci air itu pecah dan berlaku limpahan setinggi 0.6 meter sehingga paras tebing.
“Keadaan itu turut dikhuatiri menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya kini dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita turut akan menggerakkan dua bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda ke lokasi kejadian.
“Ia sebagai persediaan untuk membantu sekiranya berlaku pemindahan mangsa,” katanya.
Tambah beliau, hujan bagaimanapun sudah berhenti setakat ini dan pemantauan lanjut masih dijalankan pihaknya.
Difahamkan, kerja pembaikan ban itu sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di lokasi tersebut. –UTUSAN ONLINE