LARUT: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan memantau lokasi tumpuan tumpuan geng plastik hitam, iaitu individu yang membeli makanan di bulan puasa di sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, lokasi-lokasi tumpuan geng plastik hitam telah dikenal pasti dan akan dipantau oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIPk.
Menurutnya, anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JAIPk akan turun padang sama ada berpakaian seragam atau berpakaian preman bagi membuat pemantauan secara berterusan di sepanjang bulan Ramadan.
“Perbuatan geng plastik hitam ini atau orang Islam yang mengambil kesempatan makan di premis makanan dan membeli makanan secara bungkus ketika umat Islam lain berpuasa adalah satu perbuatan yang tidak beradab.
“Perbuatan itu mencemarkan imej agama dan umat Islam,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Pelancaran Penghijauan Malaysia Masjid Dalam Taman Indah dan Ceria di Masjid ar-Rashdiah Selama dekat sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, perbuatan geng plastik hitam juga memalukan agama dalam kalangan orang bukan Islam.
Beliau berkata, ini kerana JAIPk menerima laporan mengenai perbuatan orang Islam membeli makanan pada waktu siang hari daripada orang bukan Islam.
Menurutnya, setiap kali bulan Ramadan, kumpulan plastik hitam akan menunjukkan perbuatan biadab mereka, seolah-olah mahu menjadi hero kerana dapat melakukan perbuatan yang negatif itu.
“Adakah mereka ini tidak tahu merasa malu pada Allah, keluarga dan masyarakat yang berbilang kaum atau sengaja untuk menunjuk mereka adalah hero apabila boleh bungkus makanan atau makan di kedai pada waktu siang hari ketika orang lain berpuasa,” katanya.
Beliau berkata, bagi individu yang benar-benar mengalami keuzuran dan tidak berupaya untuk berpuasa atas faktor kesihatan atau yang dibenarkan syarak, hendaklah tidak mempamerkan perbuatan itu pada umum.
“Ada golongan yang diberi kelonggaran mengikut syarak seperti perempuan yang masih berhadas besar kerana datang haid atau masih berada di dalam nifas dan sebagainya yang tidak boleh berpuasa.
“Namun itu tidak bermaksud mereka boleh makan di tempat terbuka sewenang-wenangnya,” katanya. – UTUSAN