SHAH ALAM: Individu dan syarikat dipelawa memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui hab pemasaran digital, Tip-Topp.
Menurut Presiden Persatuan Generasi Bersekutu, Syed Ariffin Abu Thahir, aplikasi Tip-Topp tersebut dilancarkan secara rasmi hari ini serentak di seluruh negara.
“Para usahawan seperti pemotong rumput, kontraktor hawa dingin dan dobi boleh menyertai hab pemasaran digital Tip-Topp dengan percuma.
“Hasrat kami adalah untuk membantu usahawan tidak kira bumiputera mahupun tidak memasarkan perkhidmatan dan produk melalui platform ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aplikasi Digital Tip-Topp di Dewan Perdana Ekhwan Subang Pelangi hari ini.
Yang hadir merasmikan adalah Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Syed Ariffin berkata, buat masa ini, seramai 500 usahawan daripada pelbagai bidang dari seluruh negara telah menyertai Tip-Topp walaupun hari ini adalah hari pertama pelancarannya.
“Sebagai pertubuhan yang berpusat di Port Dickson, hab pemasaran digital Tip-Topp kami ditumpukan dahulu untuk pemasaran digital di kawasan tersebut.
“Kami mengalu-alukan golongan usahawan menggunakan platform ini terutama usahawan baharu dan muda yang masih tercari-cari kaedah memasarkan produk mereka,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, usahawan muda harus menggunakan platform Tip-Topp untuk memasarkan produk mereka agar perniagaan mereka lebih maju.
Katanya lagi, zaman ini adalah zaman teknologi di hujung jari, maka, gunakan peluang tersebut untuk menjana ekonomi dalam bidang perniagaan. –UTUSAN ONLINE