PASIR SALAK: Kehilangan bapa yang meninggal dunia secara mengejut tidak mematahkan semangat Darwish Haikal Mohd. Taufik, 15, anak sulung daripada lapan beradik di sini, untuk berjaya dalam pelajaran dan mengejar impian mewakili negara dalam sukan ragbi.
Darwish Haikal adalah penerima anugerah Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, di sini pada 2019 atas kejayaannya terpilih mewakili pasukan ragbi Perak dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 12 Tahun yang menyaksikan pasukannya muncul naib juara.
Selain itu, dia aktif dalam lain-lain sukan terutama badminton.
Menurut Darwish Haikal, arwah bapanya sentiasa memberi semangat untuk dia berjaya dalam sukan ragbi.
Katanya, setelah kehilangan bapanya yang meninggal dunia secara mengejut, dia tidak patah semangat memburu impian melangkah jauh dalam sukan yang diminatinya itu.
“Saya minat sukan ragbi semasa di sekolah rendah lagi. Pada 2019, saya terpilih mewakili Perak dalam kejohanan MSSM, kami berjaya mengalahkan Selangor di peringkat separuh akhir namun kalah kepada Terengganu pada final.
“Kejayaan itu menambah semangat saya untuk terus menceburi sukan ini dan berharap ada pihak yang menyokong minat dan impian saya ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sungai Manik, dekat sini.
Katanya, arwah bapanya tidak pernah menghalang dia meminati sukan ragbi malah sentiasa memberi sokongan dan semangat.
“Arwah bapa mahu saya menonjolkan kebolehan saya dalam sukan ini, dia tidak pernah menghalang. Dia tidak mahu saya terlibat dalam dalam perkara yang tidak baik.
“Saya mahu berjaya dalam pelajaran dan sukan ragbi. Saya sedia menerima tawaran belajar di tempat yang saya boleh mengembangkan bakat saya dalam sukan ini,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Siti Norlia Ramsah, 36, berkata, Darwish Haikal meminati sukan sejak kecil dan dia sentiasa menyokong minatnya.
Katanya, dia tidak menyangka anaknya berbakat dalam bidang sukan kerana perwatakannya yang pendiam dan lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga.
“Dia seorang anak yang berdikari, juga cemerlang dalam pelajaran dan selalu mendapat kedudukan terbaik dalam peperiksaan.
“Mengenai minatnya dalam sukan ragbi, saya tiada halangan jika dia bercita-cita tinggi dalam sukan ini, saya akan terus menyokongnya,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini menyiarkan laporan Siti Norlia berdepan cabaran sukar untuk menyara hidupnya dan lapan anak yang masih kecil selepas kematian suami.
Siti Norlia kematian suaminya, Mohd. Taufik Mohd. Noor, 38, yang meninggal dunia secara mengejut pada 16 Februari lalu meninggalkan lapan anaknya yang berusia antara 11 bulan hingga 15 tahun.
Anaknya yang kecil Mohd. Umar Yusuff berusia 11 bulan, Mohd. Wafiy Zaffran, 2, Luqman Haziq, 5, Asyraff Mikail, 7, Nuraireen Tasnem, 8, Nurnatasya Humaira, 11, Mohd Aidit Putra, 13, makala anak sulung Darwish Haikal.
Dia tidak memiliki pekerjaan tetap dan mencari rezeki dengan membuat kuih serta menjualnya di Kampung Bahagia di sini selain 9dihantar ke kedai. –UTUSAN ONLINE