PETALING JAYA: Aktivis Sosial, Adam Adli Abd. Halim dan peguam, Muhammad Kamil Abdul Munim secara rasmi mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua dan Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi pemilihan sesi 2022-2025.
“Kami pilih untuk umum hari ini selepas bertemu dengan teman-teman sepanjang minggu-minggu yang lalu. Merasakan ia sesuai iaitu sebelum menjelang Ramadhan, selain memberi ruang yang cukup untuk teman-teman lain membuat persediaan ke arah hari penamaan calon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Adam Adli dan Muhammad Kamil dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, mereka bernaung di bawah gabungan yang dinamakan ‘Seangkatan’ sempena pemilihan PKR 2022.
“Pasukan penuh yang terdiri daripada tiga orang calon Naib Ketua AMK dan 20 orang calon Exco AMK serta lima teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan dalam menggerakkan kempen kali ini akan diumumkan dalam sebuah kenyataan bersama dan majlis berasingan tidak lama lagi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pemilihan PKR 2022 kali ini disifatkan sebagai usaha terbesar untuk memperkukuhkan kembali kekuatan parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang hampir pasti akan berlangsung dalam masa terdekat.
“Memanggil pemilihan dalam suasana sebegini adalah sebuah risiko besar, namun sudah menjadi resmi kita sebagai orang berjuang – jika takut pada risiko, usah bicara soal perjuangan,” ujarnya.
Justeru, kata kenyataan itu, AMK yang merupakan barisan paling hadapan PKR harus bersedia kukuh, berani, progresif dan segar.
Malah, katanya, ia harus menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi dalam berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.
“Untuk mencapai tujuan itu, bakat-bakat muda, lama dan baharu yang mempunyai bukan sahaja cita-cita, sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu AMK. Inilah cabaran yang harus kita sahut,” ujarnya. – UTUSAN