ALOR SETAR: Sebanyak 974 daripada 9,304 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang berdaftar di seluruh negara, dikesan tidak lagi aktif dalam memainkan peranan masing-masing ketika ini.
Begitupun menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk membatalkan pendaftaran kesemua KRT yang tidak aktif tersebut.
Sebaliknya kata beliau, beberapa usaha giat dijalankan bagi memastikan KRT-KRT tersebut dapat diaktifkan semula bagi memastikan komuniti setempat mendapat manfaat daripadanya.
“Mana-mana KRT yang tidak aktif, kita ambil pendekatan untuk buat pemilihan baharu supaya komuniti setempat boleh mencadangkan individu yang layak untuk menjadi pengerusi dan ahli jawatankuasanya (AJK).
“Pegawai Perpaduan Daerah bertanggungjawab memberi kesedaran kepada komuniti setempat berkenaan perkara itu. Kalau pengerusi dan AJK tak boleh berfungsi dengan baik, tugas Ketua Pengarah JPNIN untuk ambil tindakan supaya diadakan pemilihan baharu atau langkah-langkah lain dapat diambil bagi memastikan KRT itu kembali berperanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Perlis 2022 di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan serta Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr. Robert Ling Kui Ee.
Pada majlis itu, sebanyak 474 KRT yang aktif di Kedah menerima geran berjumlah RM2.8 juta manakala 138 KRT yang aktif di Perlis pula menerima geran keseluruhan berjumlah RM828,000.
Mengulas lanjut Halimah berkata, ketetapan dibuat sebelum ini telah menetapkan bahawa, sesebuah KRT yang diwujudkan akan melibatkan kira-kira 1,000 rumah di sesuatu kawasan.
“Jika 1,000 rumah dilibatkan di sesuatu kawasan, tidaklah sukar untuk komuniti di situ memilih calon bagi menganggotai 25 AJK termasuk pengerusi. Apa yang penting, pemilihan tidak dilakukan hanya dalam kelompok-kelompok tertentu sebaliknya perlu libatkan keseluruhan komuniti.
“Bila sampai waktu pemilihan, pegawai perpaduan daerah perlu turun dan nasihatkan KRT untuk maklumkan pada semua penduduk. Jadi agak mustahil kalau dikatakan tiada orang untuk mengaktifkan sesebuah KRT yang didaftarkan itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pelantikan AJK KRT di sesebuah kawasan juga perlu merangkumi pelbagai kaum bagi memenuhi objektif ditetapkan.
“Perlu ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain kerana KRT ini tidak diwujudkan untuk kaum-kaum tertentu sebaliknya berperanan menyatu-padukan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN