SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menggunakan kaedah pelupusan kambus tanah bagi melupuskan 60,543 tan metrik sisa pasca banjir bermula 21 Disember 2021 sehingga 15 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, kesemua sisa pasca banjir yang diterima pihak Worldwide Holdings Bhd. itu diasingkan terutamanya sisa e-waste untuk dihantar ke enam pusat pelupusan yang ditetapkan pihak Jabatan Alam Sekitar.
Katanya, enam pusat pelupusan tersebut ialah di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram yang melupuskan sebanyak 32,267 tan metrik, Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Dua Belas (14,715), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil (12,043), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang (849), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Tua (583) dan Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena (86).
“Kaedah pelupusan kambus tanah secara selamat digunakan dimana sisa pasca banjir akan dilupuskan didalam ‘cell’ penerimaan sisa pepejal (yang dilapisi ‘system liner’) dan kemudian ia akan diratakan serta dimampatkan sebelum ditutup dengan selamat.
“Jumlah penghasilan sampah pasca banjir ini merupakan satu perkara yang di luar jangkaan kita. bagaimanapun, kita harus mengambil iktibar untuk memikirkan satu kaedah pelupusan sampah yang lebih mapan dengan memanfaatkan teknologi yang terkini termasuk WTE bagi menyelesaikan kekurangan tapak pelupusan khususnya di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Menjawab soalan pertanyaan mengenai pengasingan sampah kitar semula, Sze Han memberitahu, keutamaan diberikan ketika berhadapan dengan pengurusan krisis adalah bagi membersihkan sisa banjir di kawasan rumah, kedai dan jalan raya.
“Dalam pengurusan krisis, kita perlu beri segala tindakan yang hendak diambil iaitu keutamaan dan bukan keutamaan.
“Selepas 18 Disember 2021 (kejadian banjir), keutamaan adalah untuk kita membersihkan sisa banjir di rumah, kedai dan jalan, selepas sisa banjir di bawa ke tapak pelupusan, pihak Worldwide akan cuba asingkan (sisa banjir) sebanyak mungkin tetapi keutamaan kita pada masa itu adalah untuk membersihkan sisa banjir,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE