500 terima bantuan kelengkapan sekolah di Tasek Gelugor  - Utusan Malaysia

500 terima bantuan kelengkapan sekolah di Tasek Gelugor 

SALINA Shafie menunjukkan baucar bantuan persekolahan yang diterima anaknya pada Program Sumbangan Kembali ke Sekolah anjuran pejabat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: “Alhamdulillah. Ringan sikitlah beban kami untuk beli kelengkapan sekolah baharu untuk anak dengan adanya bantuan ini.” 

Itu kata seorang ibu, Salina Shafie, 55, selepas anaknya, Muhammad Fawwaz Hasmi Rohaizad, 11, tersenarai antara 500 penerima baucar bantuan persekolahan bernilai RM150 tiap seorang sumbangan pejabat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini, hari ini. 

Menurut Salina, walaupun hanya memiliki seorang anak, pendapatan suaminya, Rohaizad sebagai seorang tukang cuci yang tidak menentu kadang-kadang tidak cukup untuk memenuhi keperluan anak mereka sementelah dia pula tidak bekerja. 

“Sekarang ini semua barang mahal. Syukurlah, dapat juga beli baju sekolah baharu untuk anak,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Kembali ke Sekolah di pekarangan pusat khidmat Parlimen berkenaan di sini. 

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh seorang ibu tunggal, Norliza Che Saad, 50, apabila melihat keceriaan terpancar pada wajah anaknya, Nabila Husna Rodzi, 15, selepas menerima bantuan tersebut. 

“Syukur sangat-sangat. Walaupun bantuan ini nampak kecil, pada kami sangat besar ertinya,” katanya yang tinggal di Permatang Tok Gelam, dekat sini. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya memberitahu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM75,000 untuk menyediakan bantuan yang diberi secara tahunan itu. 

Bagaimanapun kata beliau, pengagihan bantuan persekolah yang terbuka kepada semua murid dan pelajar sekolah di Tasek Gelugor untuk tahun ini agak lewat kerana sesi persekolahan baharu dijangka hanya bermula minggu ketiga bulan ini. 

“Harapan kita dengan adanya sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menguruskan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka. 

“Bagi mereka yang tercicir daripada senarai penerima pula bolehlah datang sendiri ke pejabat Ahli Parlimen Tasek Gelugor untuk mendapatkan baucar,” katanya yang menjangkakan ada peruntukan tambahan hingga RM25,000 lagi untuk tujuan itu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya