MELAKA: Lebih 200 banduan pra bebas di Melaka berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan dan agensi di bawah program pemulihan dalam komuniti.
Pengarah Penjara negeri, Roslan Mohamed berkata, jumlah tersebut merupakan angka terkini yang direkodkan dengan 40 peratus daripadanya telah ditawarkan perjawatan tetap.
Jelasnya, peluang kedua itu diberikan kepada banduan yang berada bawah Sistem Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen.
“Terkini, lebih 200 banduan pra bebas telah mengikuti program pemulihan dalam komuniti di mana mereka ini tidak dikurung di dalam penjara, sebaliknya diberi peluang bekerja bersama masyarakat.
“Antara sektor yang sudi berkolaborasi termasuklah industri perkilangan, restoran dan agensi di bawah kerajaan negeri, malah, 40 peratus daripada mereka turut ditawarkan perjawatan tetap,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Metamorfosis Di Sebalik Tembok Muzium Penjara Malaysia di Muzium Penjara Melaka di sini, hari ini.
Turut hadir merasmikan adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Mengulas lanjut, Roslan berkata, kesemua banduan yang menjalani kehidupan bersama komuniti itu telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk penentuan bagi penempatan.
“Mereka ini bukanlah banduan yang terlibat dalam jenayah serius seperti bunuh, rogol, senjata api atau pengedar dadah, tetapi kesalahan-kesalahan ringan seperti mencuri kereta dan penagih dadah.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, oleh itu, bukan semua permohonan (banduan) diluluskan oleh KDN sebaliknya hanya mereka yang layak mengikut jenis kesalahan dilakukan,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Akmal berkata, kerajaan negeri akan terus berkolaborasi dengan Penjara Melaka untuk menyediakan peluang pekerjaan termasuk menyerap banduan pra bebas itu dalam sektor pertanian.
“Melaka pun banyak tanah-tanah yang terbiar, jadi mungkin kita boleh latih banduan ini kerja di situ sebelum dibebaskan secara penuh.
“Peluang pekerjaan ini akan memberikan pendapatan baharu, sekaligus mengelakkan mereka daripada melakukan jenayah berulang dan dimasukkan semula ke penjara yang akhirnya meningkatkan kos operasi pusat tahanan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut memberitahu, sebanyak 90 peratus banduan di negeri ini juga telah lengkap suntikan dua dos vaksin Covid-19. –UTUSAN ONLINE