IPOH: Sebanyak 35 ekor kambing mati dalam kebakaran kandang di Dataran Pengkalan Barat 16, Taman Temara di sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat kejadian pada pukul 12.29 tengah malam.
Katanya, setibanya jentera di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kandang kambing kelas C musnah terbakar dianggarkan sebanyak 50 peratus.
“Tiada mangsa terlibat melainkan 35 ekor kambing mati manakala 22 ekor lagi kambing berjaya diselamatkan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi memadam kebakaran segera dijalankan dengan dibantu anggota BBP Ipoh sehingga selesai sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 1.30 pagi.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan kerugian dialami mangsa,” katanya. – UTUSAN