PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 33 warga asing di sebuah universiti swasta ternama di Semenyih atas pelbagai kesalahan kerana tidak memiliki pas pekerja dan dokumen pengenalan diri.
Dalam serbuan pada 7 Mac lalu itu, warga asing berusia dalam lingkungan 22 hingga 67 tahun itu adalah tukang cuci serta tukang kebun di universiti berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan awal mendapati kesemua warga asing ini bekerja dari pukul 7 pagi sehingga 4.30 petang dalam kawasan universiti itu.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 27 orang warganegara Indonesia, Pakistan (4) dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan Nepal.
“Ketika serbuan dibuat, ada yang cuba melarikan diri dengan memanjat bukit, bersembunyi dalam bilik kecil dan tukar pakaian seragam kerja bagi mengelak diberkas penguat kuasa.
“Siasatan juga mendapati, warga asing ini telah bekerja di universiti ini lebih kurang dua tahun dan tidak pernah memiliki pas serta tiada dokumen pengenalan diri,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata, syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerjanya.
Justeru, katanya, tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar.
Khairul berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Menurutnya, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. –UTUSAN ONLINE