KUBANG PASU: Seramai 2,000 penduduk di tiga buah kampung di daerah ini berdepan kesukaran melaksanakan urusan harian apabila jalan yang menjadi laluan penting mereka berada dalam keadaan teruk dan membahayakan.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati jalan sepanjang kira-kira 10 kilometer itu melibatkan Kampung Kuala Kerpan, Kampung Matang Mahang dan Kampung Matang Bongor di sini tidak rata, pecah dan berlopak.
Selain pesawah, katanya, jalan tersebut turut digunakan para pelajar sekolah dan keadaan menjadi lebih teruk terutamanya ketika hujan.
“Kami difahamkan kerosakan itu telah lama berlaku, namun, hingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib untuk membaikinya.
“Difahamkan jalan tersebut mudah mendap dan kerap rosak kerana sering dilalui kenderaan berat seperti jentuai padi, traktor dan lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) diminta segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan bagi mengatasi isu tersebut.
“CAP berpendapat adalah wajar kemudahan asas untuk penduduk luar bandar diberi keutamaan kerana mereka merupakan penyumbang bekalan makanan untuk rakyat dan ekonomi negara.
“Selain itu, CAP juga imbang jika keadaan jalan tersebut dibiarkan, ia bukan saja akan menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk setempat, malah, boleh berlaku kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan,” ujarnya.
Tambahnya, pihak berwajib diminta untuk sentiasa memastikan kualiti serta kerja-kerja baik pulih jalan, dijalankan secara sempurna dan berada pada tahap memuaskan.
“Selain itu, mereka yang menggunakan kenderaan berat juga perlu bertanggungjawab bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya. –UTUSAN ONLINE