1,797 calon SPM Putrajaya - Utusan Malaysia

1,797 calon SPM Putrajaya

Calon pelajar SPM 2021 mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan di SMK Putrajaya Presint 8 (1) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1,797 calon berdaftar terdiri daripada 1,631 calon sekolah dan 166 calon persendirian menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 11 pusat peperiksaan di sini hari ini.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, bagi memastikan kelancarannya serta keselamatan calon dan petugas, pihaknya mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasi Sekolah 3.0.

“Perkara yang kami tekankan ialah prosedur operasi standard (SOP) dan pagi ini, calon diambil suhu sebagai langkah berjaga-jaga. Mereka mengisi Borang Deklarasi Saringan Covid-19 Peperiksaan mengenai keadaan kesihatan mereka dan diserahkan kepada guru yang bertugas.

“Mereka dinasihatkan selalu memakai pelitup mulut dan hidung, jarak setiap calon juga 1.5 meter manakala bagi petugas perlu sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung serta menggunakan sarung tangan sewaktu menguruskan pemberian kertas soalan dan mengambil kertas jawapan calon,” katanya sewaktu meninjau pelaksanaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini.

Katanya lagi, untuk calon yang didapati bergejala, mereka akan diasingkan ke bilik khas bagi mengelakkan gangguan kepada calon yang lain serta keadaan mereka turut dimaklumkan kepada ibu bapa.

Bagaimanapun, Farizah berkata, setakat ini seramai 46 calon SPM di Putrajaya disahkan positif Covid-19 manakala, 22 calon pula kontak rapat dan mereka tidak hadir bagi menduduki SPM hari ini.

“Guru kelas menghubungi mereka dan kita juga ada guru kaunseling di sekolah yang membantu dari segi emosi. Pihak jabatan juga akan membantu apabila mendapat maklumat terkini.

“Apa yang pasti kesemuanya sudah dihubungi kerana kita ada saluran komunikasi melalui WhatsApp dan Telegram. Alhamdulillah calon tersebut faham sebab mereka boleh (menduduki SPM) kerana akan ada penjadualan semula, jadi tidak ada masalah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hanya terdapat 19 calon SPM di Putrajaya yang tidak menerima vaksin Covid-19 berikutan masalah kesihatan serta dinasihatkan oleh doktor untuk tidak mengambilnya.

“Jadi yang lain lengkap vaksin Covid-19 termasuk di SMK Putrajaya Presint 8(1) ini iaitu kesemuanya lengkap divaksinasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya