Yang Dipertua Melaka ingatkan Kerajaan BN tunai manifesto - Utusan Malaysia

Yang Dipertua Melaka ingatkan Kerajaan BN tunai manifesto

MOHD. ALI Mohd. Rustam (tengah) diiringi Sulaiman Md. Ali (kiri) dan Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum ketika sesi Perasmian Pembukaan Persidangan Kedua DUN Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali diingatkan agar menunaikan manifesto seperti yang dijanjikan kepada rakyat pada pilihan raya negeri (PRN), November tahun lalu.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, manifesto dengan tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ telah menggariskan satu matlamat, lima teras dan 103 inisiatif yang diikrarkan untuk dilaksana bagi kecemerlangan masa depan rakyat dan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, janji yang telah dimeterai antara kepemimpinan kerajaan dengan rakyat adalah keseluruhan inisiatif berkenaan yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari, satu, tiga atau lima tahun.

“Oleh itu, suka saya menasihati Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan yang baharu untuk mengambil inisiatif sewajarnya bagi merealisasikan janji-janji tersebut. Ini adalah amanah yang perlu digalas.

“Perlu bekerja lebih kuat untuk memahami denyut nadi dan membantu keperluan rakyat. Semoga banyak manfaat yang bakal diperoleh rakyat yang telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada barisan kepimpinan ini,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Pembukaan Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Sebanyak 112 soalan lisan dan 95 soalan bertulis akan dibentangkan pada persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis.

Bagaimanapun, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bemban) tidak hadir kerana disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Mohd. Ali juga menyarankan kerajaan serta agensi negeri mempelbagaikan pendapatan rakyat dan negeri menerusi sumber yang terhad.

Jelasnya, aset-aset terbiar seperti tanah kerajaan, tanah wakaf dan bangunan terbiar dapat diaktifkan penggunaannya bagi menjana ekonomi yang dapat memberikan pulangan.

“Saya juga telah mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menjalankan kajian mengenai potensi Melaka sebagai hab industri pertanian berteknologi tinggi untuk membekalkan sumber makanan dan mengurangkan import makanan ke negeri ini serta Malaysia,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya