JERANTUT: Meskipun berhadapan dengan penularan wabak Covid -19, namun ia tidak menghalang seorang pembuat wau di Kampung Belukar, Damak, di sini untuk menyiapkan tempahan pelanggannya.
Malah dikatakan permintaan wau tetap seperti biasa meskipun kebanyakan perniagaan lain terjejas akibat pandemik terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pembuat wau, Arifin Hamzah, 67, berkata, setakat ini dia menerima tempahan dari pihak universiti bertujuan untuk membuat kajian tentang pembuatan wau.
“Sebelum ini ada pihak universiti datang kepada saya untuk membeli wau katanya untuk ditiru hasil seni terbabit mungkin sebagai kajian. Saya juga tidak pasti juga tujuan sebenarnya.
“Namun mereka membeli beberapa jenis wau iaitu saya menjual wau tersebut pada harga serendah RM50 sehingga berharga RM400 bergantung kepada saiz,” katanya memberitahu, wang yang diperoleh sedikit sebanyak digunakan untuk perbelanjaan hariannya.
Arifin berkata, terbaru dia menerima tempahan daripada seorang kenalan yang menjalankan perniagaan wau di Pulau Langkawi yang memintanya menyiapkan 15 wau pelbagai jenis antaranya termasuklah wau kucing, wau puyuh, wau bulan wau daun dan wau layang.
“Kenalan itu memang memiliki sebuah kedai wau di sana (Pulau Langkawi) dan sememangnya dia selalu mengambil tempahan wau daripada saya.
“Namun saya mengambil masa untuk menyiapkan wau tersebut kerana ketiadaan buluh. Perlu mencari buluh terlebih dahulu untuk membuat wau dan sekarang kebetulan pula buluh tiada,” katanya.
Beliau memberitahu, dia mula berminat dalam seni pembuatan wau terbabit sejak berusia 14 tahun lagi dan kini seninya itu diperturunkan pula kepada anak saudaranya.
“Anak-anak saya semua tidak minat untuk membuat wau tapi saya bersyukur ada anak saudara yang memiliki minat yang sama. Sekurang-kurangnya seni pembuatan wau ini masih dapat diteruskan lagi oleh generasi seterusnya,” katanya.
Arifin yang yang pernah diserang angin ahmar tahun lalu terpaksa menghentikan sementara aktiviti pembuatan waunya namun kembali menyiapkan tempahan pelanggan sejak semakin pulih sekitar sebulan yang lalu.
Tidak hanya membuat wau, difahamkan Arifin juga sering menerima tempahan membuat peralatan muzik untuk dikir barat seperti gong dan rebana.
“Selain itu saya juga pernah menerima tempahan untuk membuat sarung parang namun saya tidak dapat membuatnya kini kerana masalah kesihatan memandangkan sarung parang memerlukan penelitian yang tinggi kerana seninya yang lebih halus,” katanya. -UTUSAN ONLINE