SEREMBAN: Hujan lebat beserta angin ribut yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang tadi di Bandar Sri Sendayan di sini telah mengakibatkan berlaku beberapa kerosakan.
Tinjauan Utusan Malaysia petang ini mendapati berlaku kejadian pokok tumbang di sekitar Jalan Seri Sendayan manakala beberapa buah khemah gerai penjaja pasar malam Sendayan Metropark turut rosak dipukul angin kuat.
KEADAAN beberapa gerai penjaja yang terjejas susulan kejadian ribut dan angin kuat yang berlaku di Sendayan Metropark, Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-VIDEO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Sebuah kereta yang diletakkan di Sendayan Metropark didapati turut rosak apabila ditimpa papan tanda yang tumbang.
Seorang peniaga yang ditemui, Abdul Latif Hashim, 61, berkata, dia yang menjual buah-buahan tidak menyangka kejadian angin kuat tersebut telah merosakkan dua khemahnya.
“Semasa kejadian, saya baru sahaja membuka kedai iaitu kira-kira pukul 3 petang. Sekitar pukul 3.45 petang tadi, angin ribut berlaku sehingga merosakkan khemah saya.
“Kejadian berlaku dua kali, bagaimanapun, angin ribut kali kedua itu agak kuat sehingga menyebabkan khemah rosak dan saya tidak boleh berniaga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Abdul Latif, khemahnya turut tercampak sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian lengan.
“Alhamdulillah lengan sahaja yang cedera dan luka sedikit akibat terkena khemah yang terbang tadi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ahmad Afroni, 45, ketika kejadian dia sedang menyusun buah-buahan jualannya.
“Angin kuat datang sebanyak dua kali dan merosakkan khemah saya. Khemah ini memang tidak boleh digunakan lagi, hari ini memang tiada rezeki buat saya,” katanya.-UTUSAN ONLINE