USIM benarkan kemasukan 70 peratus pelajar ke kampus - Utusan Malaysia

USIM benarkan kemasukan 70 peratus pelajar ke kampus

KAMPUS USIM di Nilai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membenarkan sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan pelajarnya untuk pulang ke kampus di Nilai dekat sini bagi meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula 21 Mac ini.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, langkah itu selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pengumuman daripada Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi yang bermula pada bulan hadapan. 

“Sehubungan itu, aktiviti PdP di USIM secara bersemuka adalah dibenarkan untuk pelajar yang telah lengkap vaksinasi dan melepasi tempoh keberkesanan selepas vaksinasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Aktiviti PdP yang telah ditetapkan adalah secara hibrid mengikut program pengajian. Bagi pelaksanaan mengikut kursus pula, ia akan dilaksanakan berdasarkan tiga kaedah iaitu bersemuka sepenuhnya, secara bersemuka dan dalam talian atau secara dalam talian sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak fakulti akan merancang kaedah PdP segerak (synchronous) dan tidak segerak (asynchronous) dengan mengambil kira kemampuan data dan capaian internet pelajar.

“Fakulti dan Bahagian Pengurusan Akademik juga akan merancang jadual pengkuliahan mengikut SOP yang ditetapkan seperti pematuhan penggunaan kapasiti ruang sebanyak 50 peratus dan sebagainya.

“Bagi kaedah pelaksanaan peperiksaan akhir, ia akan dilaksanakan secara bersemuka atau secara dalam talian seperti amalan biasa atau penilaian akhir gantian individu seperti take-home-exam, open-book-exam dan reflection essay bergantung kepada kesesuaian program pengajian,” jelasnya.

Mohamed Ridza menambah, pihak USIM juga akan memastikan aspek kebajikan pelajar diberi perhatian agar kesihatan fizikal dan mental pelajar sentiasa berada dalam tahap yang baik serta akan memantau secara berterusan dan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu berbangkit. 

“Bagi pelajar yang berada di kolej-kolej kediaman, Pusat Perumahan Pelajar akan mengusahakan gelembung selamat kampus antaranya dengan mengehadkan kawalan keluar masuk pelajar dalam waktu yang ditetapkan agar dapat mengurangkan risiko jangkitan.

“Bilik Gerakan Covid-19 USIM turut beroperasi bagi menyelaras maklumat dan tindakan pencegahan dalam membendung penularan wabak,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya