PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mahu menjadi peneraju untuk menawarkan laluan pembelajaran menerusi Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) kepada lepasan sekolah pondok.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, universiti itu mempunyai potensi besar untuk menjadi Pusat Penilaian APEL yang memberi fokus kepada sekolah pondok di sekitar Pantai Timur terutama di Kelantan.
Katanya, usaha berkenaan bakal memberi peluang kepada ramai lulusan sekolah pondok untuk meningkatkan kelayakan akademik menerusi laluan APEL.A, APEL.C atau APEL.Q yang ditawarkan, secara tidak langsung dapat meningkatkan imej UMK di persada nasional dan antarabangsa.
“APEL.A ialah bagi tujuan akses atau kemasukan mengikuti program pengajian tinggi, APEL.C bagi tujuan penganugerahan kredit, manakala APEL.Q pula bagi tujuan penganugerahan kelayakan kepada calon.
“Laluan APEL ini akan menjadi harapan baharu kepada lepasan sekolah pondok yang tidak dapat melanjutkan pelajaran secara konvensional untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya ketika berucap pada Sesi Jelajah MQA@IPT di UMK, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik UMK, Prof Dr Suria Baba dan Pengarah Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC), Norasikin Yahya.
Sesi jelajah itu menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan pihak IPT dalam konteks jaminan kualiti program pengajian tinggi di samping mempromosi inisiatif seperti APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan Micro-Credentials serta menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL.
Program jelajah itu juga selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang diuar-uarkan dan diusahakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), selain menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), seterusnya dalam usaha membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
Pasaran untuk APEL sememangnya luas kerana lebih 60 peratus populasi bekerja dan bekerjaya di Malaysia layak untuk memohon APEL yang mengiktiraf pembelajaran individu melalui pengalaman sebelumnya.
Sementara itu, Nik Maheran berkata, ramai dalam kalangan ulama di Kelantan yang bekerja di institusi agama mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dari sudut agama tetapi kurang dalam aspek kelayakan konvensional.
Jadi, katanya, hasrat menawarkan APEL khusus untuk lepasan sekolah pondok amat disambut baik pihaknya terutama untuk pelaksanaan di Kelantan.
“Ramai dalam kalangan mereka (kakitangan institusi agama) mempunyai diploma atau tiada kelayakan akademik secara konvensional, namun mempunyai pengalaman luas diperoleh dari sekolah pondok, jadi kita boleh tawarkan APEL kepada golongan ini.
“Hasrat ini akan diperhalusi lagi dengan beberapa pihak terutama MQA dan pastinya dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya. –UTUSAN ONLINE