Tiga syarikat diserbu disyaki guna perisian cetak rompak 

Tiga syarikat diserbu disyaki guna perisian cetak rompak 

PPDNHEP Cawangan Timur Laut, Pulau Pinang menyerbu tiga syarikat kerana disyaki menggunakan perisian cetak rompak bagi menjalankan perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Timur Laut menyerbu tiga syarikat kerana disyaki menggunakan perisian cetak rompak bagi menjalankan perniagaan mereka.

Serbuan berasingan yang dijalankan pada Selasa hingga semalam itu melibatkan sebuah syarikat kejuruteraan, syarikat hiasan dalaman dan sebuah syarikat membuat komponen elektronik.

Ketua Pegawai Penguat kuasa PPDNHEP Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan dijalankan bersama pihak pengadu iaitu dari Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai salinan langgaran.

“Semua salinan langgaran yang digunakan oleh syarikat yang diperiksa mempunyai hak cipta. Dalam operasi ini, kita membuat sitaan terhadap lima komputer meja dan tiga komputer riba yang ditemui ketika serbuan bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan bagi ketiga-tiga serbuan adalah RM26,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah syarikat kejuruteraan di sini dan hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati tiga buah komputer meja yang digunakan syarikat tersebut mengandungi salinan langgaran.

“Salinan langgaran yang digunakan ialah Windows 10 Pro; Office Home and Business 2016; Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019,” katanya.

Tambahnya, serbuan kedua dibuat di sebuah syarikat perhiasan dalaman di kawasan Bayan Lepas.

“Pasukan serbuan telah menemukan dua komputer meja dan satu komputer riba mengandungi perisian Windows 7 Professional, AutoCAD 2017, 3ds Max Design 2015, Recap 360 Pro, Photoshop CC, Illustrator CS6 dan Sketchup Pro 2016 yang dipercayai salinan langgaran,” katanya.

Beliau menambah, seterusnya serbuan yang ketiga dijalankan di sebuah syarikat yang membuat komponen elektronik dan telah menemui dua komputer riba.

“Kedua-dua komputer tersebut juga mengandungi salinan langgaran iaitu Windows 10 Home, Office Standard 2016, AutoCAD 2017, SolidWorks Premium 2017, AutoCAD 2011 for Mac, Excel for Mac, Word for Mac dan Powerpoint for Mac,” katanya.

Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987, dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak boleh melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya