Tiada elemen penting tertinggal dalam analisis sampel sisa kebakaran - Saksi - Utusan Malaysia

Tiada elemen penting tertinggal dalam analisis sampel sisa kebakaran – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Pegawai Sains Makmal Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak kemungkinan tertinggal elemen penting dalam analisis ujian sisa kebakaran pada empat sampel lokasi kejadian pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, empat tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-14, Aznor Sheda Samsudin yang menyambung keterangan peringkat pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman turut tidak bersetuju tempoh masa dua hari untuk melakukan analisis sampel kebakaran yang kompleks tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlaku kelemahan pada hasil laporan.

Peguambela, L. S. Leonard dalam soalannya berkata, sepanjang perbicaraan dijalankan, Unit Anjing Pengesan (K9), Pakar Patologi dan Jabatan Kimia tidak mengesan petrol sebaliknya hanya Aznor dalam analisisnya mengatakan terdapat petrol pada sampel yang diberikan pegawai penyiasat JBPM Selangor, Abdul Halim Zulkefeli.

Leonard : Saya katakan tempoh dua hari untuk analisis sampel kebakaran yang kompleks bukan biasa dilakukan oleh ahli kimia. Setuju?
Aznor : Tidak setuju

Leonard : Saya katakan Puan patut ambil tempoh masa yang lebih lama. Setuju?
Aznor : Tidak setuju

Leonard : Cara anda buat analisis untuk empat sampel ini dalam tempoh singkat, dengan memberi keutamaan pada amalan sendiri dan tidak memberi keutamaan pada manual ditetapkan merupakan kelemahan dalam laporan analisis anda. Setuju?
Aznor : Tidak setuju

Leonard : Saya katakan pihak pembelaan sudah menunjukkan fakta saintifik, analisis petrol pada sampel C,D dan E tidak berasas dan anda ada niat tidak baik untuk sabitkan Samirah dengan pertuduhan.
Aznor : Tidak setuju.

Aznor dipanggil memberi keterangan terhadap bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 47, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, kerana membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Nur Sabrina Zubairi dan Nor Suhaili Abu Bakar manakala pembelaan turut diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat Azlan dan Savreena Kaur.

Perbicaraan bersambung 14 Mac hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya